Tukar MB Bukan Hal Baru

Undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir pada Rabu lalu bukanlah suatu krisis besar atau peristiwa yang tidak pernah berlaku sebelumnya.

Hanya kali ini agak berbeza apabila ianya melibatkan Mukhriz anak kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang mana dilihat secara terbuka dalam usaha melakukan gerakan turunkan Perdana Menteri Najib Tun Razak.

Terdapat beberapa sebab kenapa Menteri Besar atau Ketua Menteri diganti. Di Johor Menteri Besarnya Abdul Ajib Ahmad diganti kerana beliau secara terbuka bertindak melawan Dr Mahathir yang ketika itu adalah Perdana Menteri Malaysia. Dr Mahathirkemudiannya menggantikan Abdul Ajib dengan Muhyiddin Yasin dan ini berlaku pada tahun 1986.

Dalam kes Nik Hassan Wan Abdul Rahman Menteri Besar Terengganu suatu waktu dahulu, beliau diganti kerana tidak sehaluan dengan pihak Istana Terengganu.

Kes ini berlaku pada tahun 1974 yang mana ketika itu Perdana Menteri Malaysia adalah Tun Abdul Razak dan ianya digantikan oleh Dato Seri Amar Diraja Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.

Begitu juga dengan kes Mohamed Ghazali Jawi, Menteri Besar Perak yang juga mempunyai sebab yang sama iaitu dengan istana negeri ketika itu. Peristiwa ini berlaku pada tahun 1977 dan Perdana Menteri ketika itu adalah Tun Hussein Onn. Beliau digantikan dengan Wan Mohamed Wan Teh. Penting, Tun Hussein dikatakan ditekan untuk menukarkan Menteri Besar Perak ketika itu.

Dan peristiwa ini (pertukaran Menteri Besar) berlaku di negeri lain juga tanpa pengecualian. Samada Menteri Besar tidak boleh seiring dengan pihak Istana atau Menteri Besar tersebut berhadapan dengan undi tidak percaya dari kepimpinan parti atau jelas tidak sehaluan dengan Perdana Menteri. Dan jelasnya dalam semua kes yang tersebut kesemua mereka diganti atau ditukar.

Malah kes pertukaran Menteri Besar bukan hanya berlaku di dalam UMNO atau Barisan Nasional sahaja. Di Kelantan pada tahun 1977 Menteri Besar dari parti PAS berhadapan dengan undi tidak percaya di kalangan kepimpinan parti mereka yang berakhir dengan pertukaran Menteri Besar akhirnya.

Terbaru di Selangor, Menteri Besar PKR juga menghadapi situasi atau nasib yang sama.

Akhirnya di dalam apa juga sebab musabab atau kesnya, Perdana Menteri masih perlu mendengar dari barisan kepimpinan negeri dan juga dari pihak Istana. Dan sekiranya seseorang Menteri Besar mendapat undi tidak percaya dari kepimpinan negeri dan pihak Istana telah perkenankan maka tindakan yang sewajarnya mesti dilakukan.

Justeru Perdana Menteri akan membuat keputusan berdasarkan maklumat yang beliau kumpul dan tindakan terbaik adalah menyerahkan kepada budi bicara Perdana Menteri itu sendiri.

Apa saja keputusan yang Perdana Menteri laksanakan sememangnya mengambil kira segala pandangan.

Oleh Salleh Said Keruak,
http://sskeruak.blogspot.my/2016/01/when-menteri-besar-is-removed.html