WSJ Masih Mengitar Semula Dakwaan Tidak Berasas

Kenyataan Media oleh 1Malaysia Development Berhad:
WSJ masih mengitar semula dakwaan tidak berasas

Kami merujuk kepada artikel yang disiarkan awal hari ini oleh Wall Street Journal. Dalam nada yang sama seperti liputan-liputan lain berkenaan Malaysia yang dibuat sebelum ini, artikel ini hanya mengitar semula dakwaan tidak berasas dan sama seperti terbitan pertama pada pertengahan 2015.

Hakikatnya tiada berita sebenar yang terdapat di dalam artikel tersebut. Atas sebab-sebab yang hanya diketahui oleh pihak pengurusannya, Wall Street Journal dengan jelas kelihatan senang untuk menjadi papan kenyataan bagi teori konspirasi dan fitnah yang disebarkan oleh pihak pembangkang di Malaysia. Ini adalah amat menyedihkan bagi pembaca penerbitan ini yang berhak mendapat berita lebih baik.

Seperti yang Wall Street Journal ketahui sepenuhnya, tuduhan-tuduhan yang dibuat adalah merupakan subjek siasatan yang sedang dijalankan secara menyeluruh oleh pelbagai pihak berkuasa di Malaysia. Tambahan pula, seperti yang telah diakui beberapa kali sebelum ini oleh Wall Street Journal di dalam artikel mereka, tiada sebarang dakwaan bahawa berlakunya aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Oleh itu kami amat bingung dengan tindakan Wall Street Journal untuk terus-menerus berkempen untuk menjatuhkan 1MDB dan Malaysia, dan kami menggesa agar mereka dapat memberi tumpuan kepada berita sebenar.