1.5 Juta Pekerja Bangladesh Akan Dimasukkan Secara Berperingkat

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, jumlah kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh ke Malaysia bukannya dilakukan secara sere­ntak sebaliknya dibuat berperingkat-peringkat merangkumi tempoh tiga hingga lima tahun.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, tiada angka mutlak bagi jumlah kemasukan pekerja Bangladesh kerana pengambilan akan bergantung kepada keperluan sebenar pihak majikan di negara ini dan kelayakan serta kemampuan setiap majikan untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, angka 1.5 juta pekerja Bangladesh yang mendapat liputan meluas dalam media sebenarnya merupakan jumlah warga Bangladesh yang berdaftar dengan kerajaan negara itu untuk tujuan pekerjaan.

“Harus diketahui mereka (pekerja Bangladesh) tidak diambil bekerja dengan jumlah yang besar dalam satu-satu tahun, ia akan ambil masa yang panjang, pada masa yang sama, mereka yang tidak ada dokumen akan balik ke negara asal.

“Ini harus diketahui dan saya harap dengan penjelasan ini tidak timbulkan interpretasi yang pelbagai dan tuduhan-tuduhan yang amat mengelirukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Pembangunan dan Pengurusan Industri Halal Malaysia di Perdana Putra di sini hari ini.