100 Buah Pasar Malam Di Sekitar Ibu Kota Akan Diseragamkan

Pelaksanaan transformasi pasar malam sudah mula digerakkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), melibatkan kesemua lokasi terlibat di seluruh ibu kota.

Kira-kira 100 buah pasar malam di sekitar ibu kota akan diseragamkan bagi memastikan perseki­tarannya sentiasa bersih dan selesa untuk dikunjungi.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz berkata, DBKL akan mengambil alih kerja-kerja pembersihan, memperkemas Prosedur Standard Operasi (SOP) dan membekalkan logistik di pasar malam.

“Langkah tersebut dicapai hasil perjumpaan dan dialog de­ngan penganjur pasar malam. Sejak 2006, sejumlah 22,439 lesen dikeluarkan kepada penjaja pasar malam.

“Kerja-kerja naik taraf pasar malam di Kuala Lumpur merupakan antara petunjuk prestasi utama (KPI) Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur sejak 2012,” kata­nya dalam satu kenyataan.

Menurut Mhd. Amin Nordin, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memutuskan supaya DBKL membekalkan logistik se­perti kanopi, meja, alas meja dan apron.

Katanya, keputusan tersebut berdasarkan kepada keada­an ekonomi negara yang kurang memberangsangkan dan bebanan kewangan yang terpaksa ditanggung oleh masyarakat.