Jangan Cabul Terma “Kritik” Untuk Tabur Fitnah, Tipu Dan Penghinaan

Sejak dilaporkan tentang seorang wanita menjadi perhatian ramai kerana didakwa di mahkamah kerana menghina Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak mengenai TPPA, penulis melihat masih ada yang memberi sokongan kepadanya.

Mereka mendakwa, hinaan yang dilakukan wanita itu adalah ‘tepat’ dan ‘benar’ berdasarkan kritikan bertulis yang dibuat di Facebook. Mereka mendakwa wanita itu ‘berani’ kerana perbuatan tersebut.

Ada pula yang menyindir secara sinis, mengatakan akan ‘berubah’ memuji dan membodek pemimpin setelah melihat apa yang berlaku pada wanita itu. Mereka mengatakan itu adalah perjuangan dan turut menyentuh tentang kebebasan bersuara di Malaysia.

Pada pandangan penulis, sebelum memberi apa-apa komen secara lisan, bertulis atau seumpamanya, seorang warganegara itu perlu tahu tentang Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan bersuara.

Perkara 10 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan mengatakan:

“Tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4), tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara”.

Jika dilihat secara zahir pada petikan Perkara 10 itu, mungkin ramai yang berfikir mereka bebas untuk berkata atau menulis apa saja yang mereka suka. Mereka fikir kebebasan itu diberikan secara ‘mutlak’ oleh Perlembagaan Persekutuan?

Sebenarnya, tafsiran bagi petikan Perkara 10 itu menggariskan bahawa kebebasan bercakap dihadkan kepada kata-kata yang tidak menjadi fitnah, kata-kata yang tidak menjadi hasutan, kata-kata yang tidak mencerca mahkamah atau yang melanggar hak keutamaan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Tafsirannya juga menjelaskan bahawa sesiapa yang menyebut, menulis, mencetak, menjual atau menyiarkan perkataan-perkataan yang mempunyai maksud hasutan dan menyoal perkara-perkara sensitif seperti hak istimewaan orang Melayu dianggap sebagai melakukan kesalahan mengikut undang-undang dan mereka boleh dihukum sehingga lima tahun penjara atau denda sebanyak RM5000.

Itulah tafsiran sebenar petikan Perkara 10 tentang kebebasan bersuara itu dari sudut Perlembagaan Persekutuan yang menjadi sumber perundangan tertinggi negara Malaysia.

Jadi pada pandangan penulis, sepatutnya kita semua tahu tentang perkara ini kerana rata-ratanya kita adalah mereka yang suka bersuara sama ada secara lisan atau tulisan di media-media sosial. Fahami betul-betul apa yang dinyatakan.

Bukanlah penulis maksudkan bahawa kita tidak dibenarkan mengkritik mana-mana pemimpin atau individu yang kita tidak suka. Kita memang dibenarkan berbuat begitu, namun kita perlu tahu tentang batas-batas yang dibenarkan undang-undang.

Mengkritik tidak semestinya perlu menabur fitnah atau menghina. Mengkritik boleh dilakukan secara berhemah dan adil. Sebagai contoh, mungkin kita boleh mengkritik adik-adik kita dengan bahasa yang garang dan tegas. Namun apakah kita wajar memfitnah dan menghina bapa kita jika dia melakukan kesilapan? Mahu makan penampar?

Firman Allah SWT:
“Ajaklah (wahai Muhammad) mereka ke arah jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang elok dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang paling baik.. ” (Surah An-Nahl : 125)

Berpandukan firman Allah itu maka jelaslah bahawa kita diseru supaya menggunakan cara yang baik dan berhikmah untuk menegur sesiapa saja. Secara umum, cara menegur rakan, adik, abang, ibu, bapa, pemimpin, pihak berkuasa dan sebagainya mempunya kaedah yang tidak serupa, bukan? Apa hukumnya melanggar seruan Allah agaknya?

Jadi, berhati-hatilah apabila membuat kritikan dan usahlah melampaui batas-batas yang telah ditetap Islam dan undang-undang negara. Tegurlah setiap saat sekalipun asalkan ia tidak melanggar ketetapan agama dan perundangan tersebut.

Namun jika enggan juga mematuhi apa yang digariskan agama dan undang-undang negara, maka janganlah terkejut atau marah-marah jika pihak berkuasa menjalankan tugas mereka membawa individu terbabit ke muka pengadilan.

‘Pengadilan’ di depan Allah pula terpulang sama ada mahu meminta maaf kepada yang difitnah dan dihina itu atau tidak. Jika meminta maaf dan dimaafkan, maka selesailah. Memaafkan juga dianjurkan dalam Islam, namun tidak berdosa jika enggan memaafkan. Jadi pandai-pandailah selesaikan secara baik dari sudut agama.

Sumber:http://www.mykmu.net/2016/02/mengkritik-tidak-semestinya-perlu-hina-atau-fitnah-sesiapa