BNM Puas Hati Dengan Jawapan Tabung Haji

Bank Negara berpuas hati dengan jawapan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) berhubung aspek pengurusan risiko yang dilaksanakan oleh agensi berkenaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu dinyatakan menerusi sepucuk surat oleh Bank Negara kepada Tabung Haji baru-baru ini.

“Saya pelik surat jawapan Bank Negara yang berpuas hati tidak pula diviralkan tetapi malangnya Tabung Haji terus menjadi mangsa keganasan persepsi di media sosial, malah masyarakat lebih mempercayai fitnah daripada kebenaran.

“Surat daripada Bank Negara yang difahami di luar konteks oleh pengguna media sosial itu tiada kaitan dengan soal kedudukan kewangan Tabung Haji,” katanya pada majlis perasmian ibu pejabat Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Mapim, Mohd. Azmi Abdul Hamid.
Baru-baru ini, Tabung Haji menerima pelbagai kritikan berikutan tersebar surat daripada Bank Negara yang menyatakan kebimba­ngan terhadap peningkatan liabiliti dan kemerosotan hasil pelaburan institusi kewangan Islam itu.

Tambah Asyraf Wajdi, ada pihak sengaja menyebarkan maklumat yang separa benar berasaskan dokumen yang walaupun nampak tulen tetapi tidak difahami dengan betul.

“Sekarang terpulang kepada Tabung Haji sama ada ingin mengambil tindakan terhadap penyebar fitnah atau tidak,” katanya.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi menggesa tokoh-tokoh agama tanpa mengira fahaman politik supaya mengetepikan perbezaan dan memfokuskan kepada titik persamaan untuk kebaikan bersama melalui media sosial.

“Ikon-ikon agama ini mempunyai pengikut tersendiri di media sosial. Manfaatkan perkara itu dengan menyebarkan mesej positif dan nilai bermasyarakat yang dibawa oleh Islam.

“Dalam penggunaan media sosial secara keseluruhannya, masyarakat jangan terlalu cepat menjatuhkan hukuman dan jangan percaya sesuatu berita di internet tanpa usul periksa,” katanya.