Cabar Belia Kerja Buruh Kasar?

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencabar belia untuk menggantikan pekerjaan warga asing jika mereka dihantar pulang ke negara asal.

Timbalan Perdana Menteri mengajak agar belia berfikir secara realiti bahawa negara perlukan tenaga kerja bagi membangunkan ekonomi.

“Realitinya adalah ekonomi harus dibangunkan, apabila ekonomi dibangunkan, ia perlukan tenaga kerja,” katanya sewaktu berucap merasmikan program Majlis Belia Selangor, di Intekma, hari ini.

Mengulas lanjut, Zahid juga menjelaskan tidak ramai anak muda mahupun belia yang sanggup bekerja dalam sektor 3D, iaitu ‘dangerous’, ‘demeaning’ dan ‘dirty’.

“Secara idealnya kita mahukan semua pekerja dari atas hingga hingga ke bawah adalah rakyat Malaysia. Tetapi berapa ramai yang sanggup bekerja dalam sektor 3D?

“Berapa ramai belia yang sanggup bekerja di restoran mamak? Berapa ramai yang mahu bekerja di kilang perabot, kerana kilang perabot memerlukan 160 ribu orang pekerja?

“Mereka (majikan) mengadu ambil rakyat Malaysia dengan memberikan gaji minima, caruman pekerja, dan juga bonus, tetapi rakyat Malaysia hanya bertahan sebulan,” kata beliau lagi.

Pada masa sama, Menteri Dalam Negeri itu juga melontarkan soalan buat kira-kira 1,200 orang belia Selangor.

“Saya mahu cabar belia ceburi apa sahaja bidang cuci longkang, kutip longkang, kutip buah, dan juga cuci bangunan,” jelasnya.

Sumber:http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/02/14/zahid-cabar-belia-buat-kerja-kotor-bahaya-susah/