Jangan Kacau Habitat Haiwan, Cari Penyelesaian Untuk Pergerakan Haiwan Sekitar Lebuh Raya

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan menjalankan kajian berhubung cadangan pembinaan laluan untuk haiwan liar melintas lebuh raya.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sekiranya kajian itu mendapati cadangan terbabit boleh dilaksanakan, kementeriannya sedia membina laluan itu yang dianggarkan menelan kos RM3 juta ke RM4 juta, bergantung kepada kedudukan kewangan.

“Saya ada mesyuarat dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, LLM, untuk membincangkan persoalan berbangkit tentang hutan.

“Kalau hutan semakin sedikit, kediaman haiwan semakin sempit, kawasan pergerakan haiwan juga terhad.

“Kerajaan pusat melalui Perhilitan telah mengambil keputusan untuk mewujudkan ‘Forest Spine’, sekaligus untuk memastikan wujud koridor-koridor hutan yang bersambung, supaya ada laluan untuk haiwan liar,” katanya selepas meninjau projek mencegah hakisan pantai di Pantai Tok Jembal, hari ini.

Beliau berkata, habitat hidupan liar, seperti gajah dan harimau kini terjejas akibat projek pembangunan, seperti pembinaan jalan raya dan empangan hidro elektrik yang memaksa haiwan liar itu berhijrah dari sebuah tempat ke tempat lain, selain faktor kurangnya sumber makanan.

Beliau menjelaskan, kawasan di lebuh raya yang sering berlaku kemalangan membabitkan hidupan liar akan dikenal pasti, sama ada ia merupakan laluan utama haiwan liar melintas.

Katanya, LLM juga perlu sentiasa memantau pagar-pagar di sepanjang lebuh raya tidak bolos, kerana ia turut menjadi punca kemalangan membabitkan hidupan liar yang diancam kepupusan, seperti harimau dan gajah.

Wan Junaidi turut menzahirkan rasa sedih dengan kes kematian seekor harimau yang sarat mengandung dua anak dalam kemalangan di Kemaman, baru-baru ini dan berharap kejadian seperti itu tidak berulang.

Sementara itu, beliau akan menasihatkan Perhilitan dan pihak berkuasa agar tidak lagi mengeluarkan lesen baru untuk memburu di hutan, kerana ia turut memberi kesan kepada sumber makanan hidupan liar.

“Kalau kita bunuh rusa, kijang, babi hutan, mana harimau nak makan…sama juga kalau kita tebang pokok di hutan, gajah pun mencari makan dengan merosakkan tanaman manusia,” katanya.