Kelayakan Atas Kertas “Overrated” – Robin Augustin

Semua orang tahu kelayakan di atas kertas sering diangkat secara berlebihan atau ‘overrated’. Benar, semakin tinggi kelayakan anda, semakin tinggi gaji anda, dan sijilnya pasti akan kelihatan bagus di dalam pejabat anda. Tapi itu sahajalah. Sijil anda tidak menentukan kehebatan anda sebagai manusia. Sebenarnya, ia tidak sedikit pun menentukan sebaik mana anda melakukan tugas anda.

Sebab itulah, jenaka yang sedang bertebaran di dalam internet mengenai Menteri Besar baru Kedah sangat menyedihkan. Lebih menyedihkan, kenyataan dari ahli politik yang membayangkan kekurangan pendidikan beliau tidak melayakkan beliau menjawat jawatan Menteri Besar.

Artikel ini bukanlah satu pembelaan untuk Ahmad Bashah, tetapi untuk mempertahankan mereka yang selalu dipersendakan kerana tidak habis sekolah atau tidak mampu melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat ijazah.

Terdapat banyak contoh mereka yang tidak menduduki SPM – sama ada melalui pilihan atau tidak mampu mendudukinya – tetapi masih berjaya di dalam hidup. Dan ada juga, yang menjawat jawatan tinggi, yang belajar di universiti terkemuka tetapi tidak pernah mencapai sesuatu yang membanggakan. Mereka menyebut mereka ada kelayakan yang tinggi, tapi apa yang mereka tunjukkan hanyalah kebodohan mereka. Kenyataan awam mereka membuatkan orang tertanya-tanya sama ada mereka ada otak atau tidak.

Ahli politik yang lebih teruk dari ahli politik yang bodoh adalah ahli politik yang korup. Sudah tentu, ada ahli politik yang ada kedua-duanya. Bodoh dan korup.

Adalah penting untuk kita ketahui yang menjadi pandai di atas kertas tidak mencukupi untuk berjaya. Adalah lebih penting menjadi pandai di jalanan, satu kriteria penting di dalam kerjaya politik. Apa sangat yang boleh dilakukan oleh ahli politik sekiranya beliau gagal berhubung dengan orang ramai di luar, walaupun beliau mempunyai kelulusan akademik yang cemerlang? Bukan kelayakan akademik yang menentukan keberkesanan seorang pemimpin, tetapi apa yang beliau lakukan untuk rakyat yang penting.

Sudah tentu, rakyat mempunyai setiap hak untuk mengkritik pemimpin mereka, tetapi Ahmad Bashah perlu dihakimi melalui kepimpinan beliau, bukan melalui kelulusan beliau. Masih lagi tidak diketahui adakah beliau akan menjadi Menteri Besar yang bagus. Hanya masa yang akan menentukan.

Oleh Robin Augustin,
http://www.malaysia-today.net/youre-ill-educated-if-you-belittle-anothers-education/