Kewangan Tabung Haji Kukuh, Jangan Percaya Kata Penghasut

Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) meminta semua pihak berhenti membuat tuduhan tidak berasas terhadapnya, yang menimbulkan kekeliruan dan akhirnya menjejaskan keutuhan ummah.

Dalam satu kenyataan hari ini, Tabung Haji menegaskan bahawa kedudukan kewangannya kukuh, dengan pendapatan sebanyak RM4.47 bilion dan keuntungan sebenar mencecah RM3.53 bilion bagi tahun Kewangan 2015.

“Sejak tahun 2009 sehingga tahun ini (2016), Tabung Haji telah mengekalkan bayaran haji pada RM9,980 bagi seorang jemaah. Untuk tahun 2016, kos sebenar haji meningkat kepada RM18,890, dengan subsidi haji sebanyak RM8,910 seorang.

“Tabung Haji dijangka menanggung subsidi haji sebanyak RM160 juta untuk musim haji tahun ini. Prestasi kewangan dan pelaburan Tabung Haji yang ternyata kukuh, membolehkan Tabung Haji menanggung subsidi haji berjumlah RM815 juta sejak 10 tahun lalu,” katanya.

Semalam, Tabung Haji mengumumkan bonus pendeposit bagi tahun kewangan 2015, merangkumi 5.0 peratus bonus tahunan dan tambahan bonus haji sebanyak 3.0 peratus, kepada pendeposit yang belum pernah menunaikan Haji.

Sementara itu, pendeposit disaran menyemak bonus mereka di kaunter Tabung Haji atau melalui mesin ATM bank-bank rakan strategiknya (Bank Islam, Bank Rakyat dan Maybank Islamic), selewat-lewatnya Rabu, 10 Feb 2016.