KWSP Mangsa Terbaru Propaganda Pembangkang

Masih lagi mengenai ruang media sosial yang menjadi lapangan untuk mencetus persepsi negatif yang berteraskan kejahilan yang tidak bertepi. Konon niat memperjuang hak rakyat, namun sebenarnya tidak lebih dari helah menipu dan memutar belit minda masyarakat Malaysia.

Selepas Tabung Haji menjadi mangsa pihak tertentu sebelum ini mengenai pengumuan kadar dividen dan bonus tahunan, kini KWSP pula menjadi target serangan. Kecoh mereka mendakwa kononnya dividen KWSP 2015 sengaja diumumkan lewat kali ini.

Pihak berkenaan mendakwa dividen KWSP ‘kebiasaannya’ diumumkan sejurus selesai bulan Disember. Malah ada yang ‘terlebih bijak’ mendakwa ia selalunya diumum pada bulan Disember di akhir tahun. Misalnya, dividen KWSP 2015 akan diumum pada Disember atau sejurus selepas 31 Disember 2015.

Lebih meloyakan lagi, pihak ‘pejuang rakyat’ itu giat mengatakan kemungkinan kononnya ‘ada sesuatu yang tidak kena’ dengan pengumuman dividen KWSP itu dan pihak kerajaan ‘cuba menyembunyikan sesuatu’.

Sekiranya dilihat pada gaya dakwaan sebegitu, sudah tentu ramai yang gelisah dan mungkin ada yang terpengaruh tanpa berfikir panjang mengandaikan perkara negatif terhadap KWSP dan pihak kerajaan.

Namun bagi mereka yang arif dan tahu, melihat pada gaya dan modus operandi serangan persepsi itu sudah tentu kenal dengan ‘skrip’ yang cuba dimainkan. Malah mungkin ada yang dapat meneka ia adalah ‘permainan minda’ siapa yang cuba memperbodohkan rakyat dengan persepsi jahat.

Pada pengamatan penulis, jika rajin sedikit mencari kebenaran, pastinya kita tidak akan mudah tertipu dengan ‘permainan’ itu. Jika dicari di dalam internet sekalipun, sudah tentu kita akan dapat melihat trend sebenar masa dividen KWSP diumumkan pada sekitar Februari atau Mac.

Misalnya, KWSP pada tahun lalu mengumumkan dividen pada 7 Februari 2015.

Hendak tahu kenapa ia mengambil masa hampir 3 bulan untuk diumum? Logik akal pun dapat menjangka alasannya. Selalunya akaun-akaun besar seperti Tabung Haji, KWSP dan sebagainya memerlukan masa untuk diteliti. Banyak yang perlu diperhalusi.

KWSP bukanlah sebuah kumpulan yang hanya memiliki 10 atau 20 akaun sahaja. Ia melibatkan jutaan akaun rakyat Malaysia dan bukan rakyat Malaysia yang mencarum. Penulis yakin, jabatan akaun KWSP sendiri mungkin ‘pening’ setiap kali menjelang akhir tahun.

Selaku akaun melibatkan awam, sedikit kesilapan akan mengundang padah. Jika tidak dimaki hamun di kaunter, sudah tentu akan ‘viral’ di caci maki di media sosial. Maka itu mereka perlu bersengkang mata meneliti akaun-akaun yang ada.

Bila tiba di meja Jabatan Audit Negara, sudah tentu ia juga akan mengambil masa untuk diperiksa. Selaku badan bebas yang memeriksa akaun, jabatan itu perlu menjaga nama baik dan akauntabiliti mereka berhubung setiap akaun awam. Selepas selesai diperiksa, diperiksa sekali lagi sebelum disahkan. Itu belum lagi masuk bab Bank Negara pula.

Berdasarkan logik tersebut, apakah dapat diterima akal jika semua akaun KWSP selesai diteliti dalam tempoh sehari? Amalan perakaunan tahunan biasanya ditutup pada tarikh akhir setiap tahun, berakhir 31 Disember. Apakah logik dividen diumum pada 1 Januari keesokan harinya?

Jadi, tidak perlulah menunjukkan kejahilan dengan dakwaan yang begitu mudah dimatikan dengan logik akal sahaja. Lagi pun, tindakan berburuk sangka, mencetus buruk sangka awam dan menyebarkan buruk sangka itu adalah satu nilai negatif yang tidak dianjurkan agama.

Namun penulis yakin, KWSP bukanlah ‘mangsa’ terakhir. Akan ada lagi ‘mangsa-mangsa’ lain yang akan menjadi sasaran pihak-pihak itu. Yang menjadi ‘mangsa sebenar’ ialah rakyat Malaysia yang selalunya suka baca tajuk dan cepat melatah tanpa usul periksa, kan? Jadi, berhati-hatilah supaya tidak menjadi ‘mangsa’.

Sumber:http://www.mykmu.net/2016/02/lepas-tabung-haji-kwsp-pula-jadi-sasaran/