Lahir Dan Dibesarkan Di Malaysia, Tapi Cakap Melayu Masih Terkial-Kial

Seorang pemimpin Umno hari ini mahu DAP untuk ‘menyekolahkan’ pemimpinnya dalam Bahasa Melayu sebelum mencadangkan ahli Umno menghadiri kelas bahasa Inggeris.

Ahli Parlimen Sekijang Anuar Manap berkata, ini kerana banyak pemimpin DAP masih tidak fasih berbahasa Melayu hingga penggunaan perkataan mengundang jenaka.

Katanya, sebagai pemimpin yang dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia, mereka sepatutnya fasih dalam bahasa kebangsaan.

“Di dewan parlimen kita menggunakan bahasa kebangsaan ini tapi sayangnya ramai di kalangan pemimpin DAP gagal bercakap dengan baik dalam bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia adalah bahasa yang mana menjadi bahasa perantaraan dan hubungan antara kaum.

“Cukup sukar untuk memahami percakapan mereka, apatah lagi ‘menghadam’ putar-belit mereka.

“Walaupun sudah bertahun-tahun menjadi wakil rakyat, pemimpin DAP ini seakan-akan langsung tidak berusaha untuk menambaik-baik tahap penguasaan bahasa rasmi negara ini,” katanya kepada Umno Online.

Anuar mengulas kenyataan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang yang mempersendakan pemimpin Umno dan tentera siber parti itu yang kerana kefahaman yang lemah Bahasa Inggeris sehingga didakwa tersalah tafsir ucapannya.

Sambil menyindir Lim berkata apa yang dikenali sebagai “graduan Universiti Umno”, sama ada menteri, ketua-ketua biro kebangsaan atau tentera siber parti itu perlu mengikuti pelajaran Bahasa Inggeris dan menggilap tahap pemahaman mereka supaya tidak terus membuat kesilapan itu pada masa depan.

Lim berkata demikian ketika merujuk laporan di blog Umno yang mendakwa timbalan presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah rekrut terbarunya dalam agenda ‘Selamatkan Malaysia’ sehingga yang mendorong bekas timbalan perdana menteri itu membuat penafian.

Mengulas lanjut isu itu, Anuar berkata pemimpin DAP harus mencermin diri mereka sebelum sibuk dalam urusan Umno.

“Memang kita tidak nafikan bahasa Inggeris adalah bahasa kedua yang penting untuk ke peringkat antarabangsa tetapi kita harus mengutamakan bahasa kebangsaan kita dahulu,” katanya.

Ahli parlimen Umno itu berkata, walaupun DAP sering melaungkan diri mereka sebagai pendokong perlembagaan negara, namun pemimpin mereka tidak dapat menguasai bahasa kebangsaan.

“DAP sering memperlihatkan keburukan orang lain di mata rakyat, mereka mahu menunjukkan kepada rakyat kononnya ahli Umno buta bahasa Inggeris tetapi ibarat paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.

“Bahasa Malaysia adalah bahasa kebangsaan dan telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

“Kefasihan rakyat atau warganegara dalam perbualan dan ucapan menunjukkan bahawa mereka menghormati Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Inipun mereka gagal, sibuk pula mahu mengata orang lain,” katanya lagi.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/331039