Laluan Lintasan Haiwan Harus Dibina Di Kawasan-Kawasan Penting

Kementerian Kerja Raya perlu membina laluan khas lintasan haiwan di beberapa kawasan strategik sepanjang Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) untuk keselamatan pengguna lebuhraya dan hidupan liar.

Penaung Persatuan Pencinta Haiwan Selangor (SPCA), Tan Sri Lee Lam Thye berkata sistem pembentungan di lebuhraya itu belum mencukupi kerana sukar dikesan haiwan liar khususnya yang keluar mencari makanan pada waktu malam.

Katanya sejak lebuhraya itu dibuka pada tahun 2012, pihaknya menerima maklumat sekurang-kurang 10 kes haiwan mati dirempuh kenderaan dengan kebanyakannya tidak dilaporkan kepada pihak berwajib.

Sehubungan itu beliau meminta Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof supaya mencadangkan kepada Kabinet untuk membina laluan khas lintasan hidupan liar secepat mungkin.

“Walaupun cadangan ini memerlukan sejumlah peruntukan, ia bukan pembaziran kerana kita bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa manusia dan harta benda (kenderaan), malah dapat mengekalkan hidupan liar sebagai khazanah berharga diwarisi kepada generasi masa depan.”

“PERHILITAN (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) perlu mencari kawasan penting untuk membina laluan utama haiwan liar seperti harimau, rusa, kera dan tapir melintas untuk dijadikan tapak pembinaan laluan khas itu,” katanya lagi.

Beliau mengulas kenyataan Fadillah mengenai sistem pembentungan di setiap 2 kilometer LPT2 diyakini dapat menjadi laluan haiwan untuk melintas lebuhraya berkenaan.