Peguam Negara Malaysia Sudi Bantu Siasatan 1MDB Bersama Peguam Switzerland

KENYATAAN MEDIA PEGUAM NEGARA MALAYSIA
30 Januari 2016

1. Saya maklum akan kenyataan dikeluarkan pejabat Peguam Negara Switzerland, dan kenyataan susulan dirujuk kepada Peguam Negara Switzerland oleh sebuah akhbar Amerika Syarikat, berkaitan siasatan terhadap dua bekas pegawai 1MDB.

2. Saya dan pihak berkuasa berkaitan di Malaysia sangat serius dalam mendapatkan semua fakta berkaitan 1MDB yang turut diheret kepada pelbagai dakwaan terhadap syarikat itu. Lantaran itu, banyak siasatan dilakukan termasuk Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam, Polis Diraja Malaysia dan Ketua Audit Negara yang masih dijalankan.

3. Pihak berkuasa di Malaysia termasuk Pejabat Peguam Negara sangat komited untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak berkuasa undang-undang negara asing melalui perjanjian dan konvensyen antarabangsa yang boleh digunapakai. Pada masa yang sama, 1MDB juga bekerjasama terhadap siasatan dijalankan.

4. Merujuk kepada kenyataan awam pejabat Peguam Negara Switzerland, pihak kami berhasrat untuk mengambil langkah sewajarnya bagi mendapatkan maklumat lanjut dan bekerjasama dengan rakan setugas di Switzerland dan kami mengalu-alukan penerimaan sebarang hasil siasatan dan bukti melalui saluran biasa. Ia kemudian akan dinilai di samping hasil siasatan pihak berkuasa lain serta siasatan kami, bagi menentukan tindakan seterusnya.

5. Bertentangan dengan laporan media baru-baru ini, siasatan terhadap dana sumbangan kepada Perdana Menteri adalah berasingan daripada (siasatan) terhadap 1MDB. Pejabat Peguam Negara sudah meneliti laporan disediakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sebagaimana sudah dimaklumkan, tidak menemui sebarang bukti salahlaku, maka telah mengarahkan kes itu ditutup.

6. Sebarang cubaan oleh mana-mana organisasi media untuk mengaitkan kedua-dua siasatan berasingan itu adalah sangat tidak bertanggungjawab dan memudaratkan.

TAN SRI MOHAMED APANDI ALI
PEGUAM NEGARA
MALAYSIA