Pihak Majikan Sepatutnya Utamakan Pengambilan Rakyat Tempatan

Kelmarin, kerajaan Bangladesh meluluskan draf memorandum persefahaman (MoU) berhubung penghantaran sebanyak 1.5 juta rakyatnya untuk bekerja di Malaysia dan perkara tersebut menimbulkan kebimbangan pelbagai pihak mengenai lambakan pekerja asing di negara ini.

Jelas Ahmad Zahid, secara dasarnya, kerajaan berharap penggantungan pekerja asing dapat dikurangkan di negara ini dan pihak majikan disaranuntuk mengutamakan pengambilan pekerja tempatan, memberi latihan kepada warga tempatan dalam sektor yang dikuasai pekerja asing serta melaksanakan sistem automasi dalam sektor-sektor tertentu.

“Kita kena ketahui bahawa bukan (kehendak) kerajaan membawa pekerja asing tetapi ia adalah atas permintaan industri dan dewan-dewan perniagaan. Kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Imigresen dan Bahagian Pekerja Asing Kementerian Dalam Negeri hanya penuhi kehendak dan permintaan pasaran,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai MoU antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Bangladesh itu, Ahmad Zahid memberitahu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem akan berada di Dhaka pada 20 Februari ini untuk perincian dan perjanjian tersebut akan hanya ditandatangani selepas mendapat kelulusan Kabinet.

MoU mengenai penggajian pekerja Bangladesh melalui mekanisme ‘Kerajaan kepada Kerajaan Plus’ (G-to-G Plus) itu akan menggunakan sepenuhnya sistem dalam talian bagi mengawal penglibatan ejen pekerja asing tidak sah dan meminimumkan kos penggajian pekerja.

Menerusi mekanisme ber­kenaan, pekerja dari Bangladesh tidak lagi terhad bekerja dalam sektor perladangan, sebaliknya, juga dibenarkan untuk bekerja dalam sektor pembinaan, perkilangan, pertanian dan perkhidmatan.

Kata Ahmad Zahid, pekerja-pekerja asing yang dibawa masuk ke negara ini perlu mengikuti tiga latihan iaitu latihan dalam bidang pekerjaan diceburi, latihan silang budaya dan latihan dari segi per­undangan dan tata etika kehidupan di Malaysia.

Sementara itu, mengulas mengenai isu kadar baharu levi pekerja asing, Ahmad Zahid berkata, pelaksanaan kadar baharu itu ditangguhkan sementara waktu sehingga perjumpaan antara Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dengan pihak industri dan dewan-dewan perniagaan diadakan sebelum 20 Februari ini bagi mencapai persetujuan bersama.

Kadar baharu levi pekerja asing yang mula dikuatkuasakan pada 1 Februari lalu menyaksikan pembahagian kepada dua kategori iaitu pekerja dalam sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan dikenakan kadar RM2,500 bagi setiap orang manakala pekerja dalam sektor ladang dan pertanian dikenakan RM1,500 bagi setiap orang.