Semua Bangunan Besar Di Kuala Lumpur Hasil Kerja Rakyat Tempatan

Baru-baru ini kecoh diperkatakan tentang isu pekerja asing yang masuk bekerja di Malaysia. Mungkin enggan berfikir panjang dan mudah terpengaruh, ada yang marah-marah dan menuding jari menyalahkan pihak kerajaan.

Selaku rakyat Malaysia, penulis mempunyai pandangan mengenai isu ini. Sekiranya ada pilihan, penulis juga seperti rakyat Malaysia yang lain, enggan melihat pekerja asing di negara kita.r

Pada pandangan penulis, majoriti warganegara Malaysia merupakan masyarakat yang sangat ‘rajin’ dan ‘tidak memilih kerja’ sebenarnya. Semuanya sangat suka bekerja, namun ‘tidak’ diberi peluang untuk menunjukkan ‘kehebatan’ mereka.

Sebagai contoh, rakyat Malaysia yang berkelulusan SPM, mereka ‘sangat suka’ untuk menjadi buruh ladang. Mereka ‘selalu memohon’ kerja di ladang sawit dan getah, tapi tidak diterima.

Khabarnya, setelah kecewa ‘ditolak’ untuk bekerja sebagai ‘buruh ladang’, mereka cuba pula minta kerja sebagai ‘buruh kontrak’ di tapak-tapak pembinaan. Mereka ‘memang mahir’ bancuh simen, ikat bata, baca pelan struktur dan ‘sanggup’ kerja kuat tengah panas. Tapi mereka ‘ditolak’ juga.

Ada juga yang hanya lulusan SRP ekoran terlalu ‘rajin’ ke sekolah dulu mencuba nasib memohon kerja sebagai ‘chef’. Mereka ‘tahu’ semua jenis masakan unik dari pelbagai negara. ‘Sedap-sedap’ pula masakan mereka. Tapi entah mengapa, permohonan mereka juga ‘ditolak’ majikan.

Bagi mereka yang memiliki diploma dan ijazah, mereka ‘sanggup’ bekerja dengan menerima gaji yang ‘kecil’. Walaupun majikan-majikan di negara kita semuanya ‘mampu-mampu’ belaka, mereka tetap mendesak supaya diberikan gaji yang ‘rendah’.

Penulis yakin, mereka berbuat demikian kerana mereka mungkin mempunyai kemahiran berbahasa Inggeris yang ‘hebat dan fasih’, ‘berpengalaman lebih 10 tahun’ dalam kerjaya yang dipohon selain memang ‘sanggup’ hidup susah dengan ‘gaji cukup makan’.

Jika hendak tahu, semua bangunan besar di Kuala Lumpur dan di seluruh negara adalah ‘hasil kerja tangan rakyat Malaysia yang rajin dan tidak memilih itu’. Merekalah yang bina sekolah, KLCC, KLIA, Putrajaya dan semua bangunan pencakar langit.

Mungkin kerana itulah negara kita ‘tidak’ memerlukan pekerja asing dan rakyat Malaysia yang ‘rajin-rajin’ serta ‘kuat bekerja tanpa memilih’ itu marah bila kerajaan mahu membawa masuk pekerja asing masuk.

Justeru itu penulis rasa, tidak perlulah import masuk pekerja asing ke negara kita. Lebih kurang 1 juta generasi muda rakyat Malaysia sedang ‘beratur’ mahu jadi buruh ladang, buruh pembinaan dan cuci tandas awam di negara kita.

Sumber: http://www.mykmu.net/2016/02/tak-perlu-pekerja-asing-rakyat-malaysia-sedia-ganti-bangla/