Tanah Pulau Pinang Yang Hampir Habis Dijual, Siapa Yang Nak Bela?

Inilah yang dikatakan ‘mengata dulang, paku serpih, mengata orang, awak yang lebih’. Bila terkena batang hidung sendiri, tahu pula mendiamkan diri. Tetapi bila masuk bab orang lain, tahu pula ‘menyalak’ biarpun orang yang dituding itu mengikut undang-undang.

Inilah yang terjadi apabila Rafizi Ramli (PKR) serta Tony Pua dan Liew Chin Tong (DAP) tidak pula mempersoalkan dua perjanjian yang dibuat oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng beberapa bulan yang lalu yang menjual tanah kepada syarikat Singapura.

Tetapi ketiga-tiga individu ini menyelar 1MDB pula kerana menjual 24% daripada projek Bandar Malaysia kepada syarikat China. Itupun dalam projek Bandar Malaysia berkenaan, 76% masih dimiliki Malaysia yang mana 57% daripadanya masih dimiliki Kerajaan Persekutuan dan Negeri Johor.

Pada Mei 2015, Pulau Pinang menjual 100% iaitu 20 ekar tanah negeri yang bernilai RM30 juta kepada Jabil Circuit Singapore Pte Ltd – sebuah syarikat yang dimiliki oleh Amerika Syarikat.

Pada Julai 2015 pula, Pulau Pinang memberi pemilikan 49% daripada 6.8 ekar projek tanah negeri Pulau Pinang yang bernilai RM11.3 bilion kepada Temasek Holding dan EDIS yang dimiliki 100% kerajaan Singapura.

Kedua-dua projek yang mana 100% dan 49% itu kini dimiliki oleh syarikat Singapura, namun tidak dipanggil “jual negara” tetapi dianggap pelaburan asing?

Tetapi apabila 24% daripada Bandar Malaysia yang dijual kepada syarikat China dianggap sebagai “jual negara” dan bukannya pelaburan asing, di mana silapnya.

Namun hakikatnya buat Rafizi, Tony dan Chin Tong: Jangan kamu bertiga cuba ‘main wayang’.

Bukankah penjualan Bandar Malaysia telah dimeterai melalui tender terbuka antarabangsa yang diuruskan oleh pihak ketiga? Mengapa mahu dipersoalkan?

Tetapi apakah dua perjanjian jual tanah kepada syarikat Singapura itu dibuat menerusi tender terbuka?

Realitinya, hal jual tanah ini bukan pelik dalam pentadbiran DAP di Pulau Pinang kerana walaupun DAP hanya memerintah bermula 2008, keluasan tanah kerajaan negeri hanya tinggal 8% sahaja daripada keluasan keseluruhan.

Dalam masa lima tahun sahaja, Kerajaan negeri Pulau Pinang telah menjual 33% tanah Kerajaan negeri kepada pemaju-pemaju yang mempunyai hubungan kroni atau Guan Eng sekeluarga ada kepentingan dalam syarikat-syarikat pemaju tersebut, pada kadar yang tidak masuk akal murahnya.

Berikut senarai tanah yang telah dijual kerajaan negeri Pulau Pinang semenjak tahun 2011 sehingga 2014 sahaja. Itu belum dikira senarai tanah-tanah kerajaan negeri yang telah dijual dari tahun 2008 sehingga 2011:

2011 – seluas 102 ekar tanah di Bayan Mutiara telah dijual kepada Ivory Properties pada harga RM1.07 bilion.

2013 – seluas 110 ekar tanah di Gurne Drive telah dijual kepada Consortium Zenith BUCG untuk projek Terowong Pulau Pinang bernilai RM6.3 juta. Kes ini unik kerana nilai RM6.3 bilion itu tidak melibatkan wang tunai.

2013 – 40 ekar tanah di Batu Kawan telah dijual kepada PE Land.

2014 – tanah seluas 245 ekar di Batu Kawan telah dijual kepada Aspen Vision di mana kepentingan Ivory Properties di dalam syarikat tersebut adalah 49%.

2014 – 30 ekar tanah di Batu Kawan telah dijual kepada Paramount Group bernilai RM57 juta.

2014 – 470 ekar tanah di Batu Kawan telah dijual kepada Eco World bernilai RM1.02 bilion.

2014 – 49% daripada 198 ekar tanah di Batu Kawan dan 6.67 ekar tanah di Bayan Lepas terjual kepada Temasek Singapura tanpa membabitkan sebarang bayaran tunai.

Kesemua jualan tersebut bernilai berbilion ringgit, tetapi jualan tanah dari tahun 2008 sehingga 2012, Pulau Pinang sekadar mencatatkan pertumbuhan sekitar 3.85% (sebanding dengan kadar bon Kerajaan Persekutuan) menerusi simpanan tunai Pulau Pinang dari RM1.02 bilion untuk sekadar mencapai RM1.192 bilion.

Sumber: http://www.tv14.my/2016/02/13/raifizi-tony-dan-chin-tong-serang-kerajaan-untuk-tutup-salah-laku-sendiri/