Tiga Tahun Dalam MT UMNO, Sekalipun Tidak Bawa Suara Rakyat

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa mencabar bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengemukakan bukti beliau pernah mengkritik kepimpinan perdana menteri sewaktu menganggotai Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Menurut Annuar, Mukhriz sebelum ini menyatakan beliau meletakkan jawatan menteri besar Kedah kerana mengkritik Datuk Seri Najib Razak demi ‘berjuang untuk rakyat’.

Sehubungan itu, ahli parlimen Ketereh itu mempersoalkan sejak bila anak kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu pernah mengkritik presiden parti sepanjang tiga tahun berada dalam Majlis Tertinggi Umno.

“Sejak bila Mukhriz mengkritik? Tiga tahun Mukhriz duduk dalam MT, sekali pun saya tidak dengar beliau kemuka suara rakyat. Maaf bercakap, apabila kena pecat beliau gambarkan kena pecat kerana berjuang untuk rakyat?

“Apa benda yang Mukhriz berjuang untuk rakyat? Jika di luar MT saya tidak tahu tetapi di dalam mesyuarat MT tidak ada sekali pun Mukhriz bercakap tentang permasalahan rakyat dan menegur Najib berhubung sesuatu isu.

“Jadi saya cabar Mukhriz terangkan apakah perkara yang beliau perjuangkan untuk rakyat dan kami dalam parti menentangnya,” katanya dalam wawancara bersama akhbar Mingguan Malaysia hari ini.

Beliau juga meminta Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam itu mengemukakan minit mesyuarat sekiranya pernah membawa masalah rakyat semasa dalam mesyuarat Majlis Tertinggi.

“Apa benda di Kedah yang hendak beliau bangunkan kita menolak? Hakikatnya tidak ada, kita ada minit mesyuarat MT, bawa minit mesyuarat MT apa yang Mukhriz sebut bersifat membela rakyat,” katanya.

Selain itu, Annuar berkata, Mukhriz sebenarnya hilang kepercayaan daripada “kawan-kawannya” kerana berada di luar pasukan.

Annuar berkata, keadaan itu terjadi berikutan kedudukan Mukhriz yang “serba salah” kerana bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai masalah peribadi dengan Najib.

“Saya memahami kedudukan beliau kerana ayahnya mempunyai masalah peribadi dengan perdana menteri tetapi Mukhriz harus ada pendirian.

“Kalau pendirian yang di pilih ialah menentang orang yang melantik kita, terima hakikat akan dipecat,” kata Annuar lagi.

Sumber:http://www.mykmu.net/2016/02/annuar-sejak-bila-mukhriz-kritik-pm-dalam-mt/