Memang ada cadangan untuk pilihan raya tersebut, tetapi kami perlukan penjelasan kerajaan negeri

PKR masih belum diyakinkan tujuan atau matlamat bagi mengadakan pilihan raya tergempar di Pulau Pinang, Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan biro politik PKR di ibu pejabat parti itu malam tadi, Dr Wan Azizah berkata parti itu bagaimanapun tidak menutup pintu perbincangan.

“Kami belum diyakinkan dengan tujuan atau matlamat untuk mengadakan pilihan raya tergempar.

“Namun, pimpinan PKR bersedia untuk meneruskan perbincangan dengan pimpinan parti komponen Pakatan Harapan mengenai isu ini,” katanya.

DAP sebelum ini mengakui pilihan raya mengejut di negeri itu adalah satu daripada pilihan kepimpinan kerajaan negeri berkenaan selepas Ketua Menteri Lim Guan Eng diheret ke mahkamah atas tuduhan rasuah.

Semalam, media melaporkan Lim bersama rombongan pemimpin DAP akan hadir pada mesyuarat itu bagi memberi taklimat mengenai kemungkinan diadakan pilihan raya mengejut, namun mesyuarat tersebut berlangsung tanpa kehadiran Guan Eng.

Guan Eng, 56, baru-baru ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang terhadap dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak menolak kemungkinan mesyuarat mengenai pilihan raya tergempar itu diadakan dalam masa terdekat.

“Kami bincang dalam mesyuarat tadi. Memang ada cadangan untuk pilihan raya tersebut, tetapi kami perlukan penjelasan kerajaan negeri,” katanya yang juga menteri besar Selangor dan ahli Parlimen Gombak.

Sumber:http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/07/20/pkr-belum-yakin-tujuan-pilihan-raya-pulau-pinang/