Mungkin sudah sampai masa DAP meletakkan petikan ini di depan cermin

Mendesak seseorang untuk meletak jawatan kerana sesuatu tindakan dan kenyataan adalah satu tabiat DAP.

Sudah banyak kali, seperti yang saya sebutkan sebelum ini, mereka menuntut pemimpin Barisan Nasional meletak jawatan kerana beberapa tindakan dan kenyataan yang tidak wajar.

Ada beberapa ketika saya setuju dengan tuntutan sedemikian, terutamanya jika berkaitan dengan kenyataan yang berbau perkauman. Tetapi, ada masanya saya bukan sahaja tidak bersetuju, malah terkejut dengan ‘kecerdikan mereka’.

Semalam adalah salah satu daripadanya.

Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menuntut Timbalan Menteri Kesihatan Dr Hilmi Yahaya meletakkan jawatan kerana kenyataan Dr Hilmi yang kononnya hanya doktor wanita sahaja yang boleh menyambut kelahiran bayi.

Kita ketepikan dahulu penjelasan Dr Hilmi yang kenyataannya telah disalah tafsir.

Di sini, kita ada Setiausaha Agung DAP yang mahukan seorang Timbalan Menteri meletak jawatan kerana satu kenyataan yang ‘tidak sensitif’.

Ini adalah Setiasausaha Agung sebuah parti, yang ahlinya sebelum ini begitu kerap melontarkan kenyataan yang tidak sensitif dan menimbulkan kebencian.

Di pilihanraya negeri Sarawak yang lepas, Superman Hew Kuan Yau dari DAP telah menghina Melayu di dalam satu siri video ceramahnya dan pada masa yang sama menyeru pengundi mengundi calonnya, Abdul Aziz Isa.

Dan Hew hampir tidak dikenakan apa-apa tindakan.

Tahun lepas, Nga Kor Ming telah memohon maaf kerana memfitnah Perdana Menteri dan isteri di laman Facebook milik Nga. Walaupun tindakan memohon maaf itu boleh dipuji, setahu saya, DAP tidak pula meminta Nga meletak jawatan kerana kenyataan beliau itu.

Pada tahun 2014, ahli parlimen Lim Lip Eng, di satu sidang media, mendakwa pemimpin DAP mampu menjejak pesawat MH370 jika parti itu diberi kuasa mengawal tentera laut dan udara.

Ini bukan sahaja tidak beretika, malah tidak sensitif. Seingat saya, tiada tindakan diambil terhadap Lim. Rakan sejawatnya, M Kulasegaran berkata ini adalah jenaka semata-mata.

Mari kita kembali kepada tuntutan Guan Eng supaya Hilmi meletak jawatan.

Ini menunjukkan DAP tidak mengamalkan apa yang diajarnya dan sangat angkuh.

Ini juga mengingatkan saya kepada satu petikan oleh ahli politik Amerika Sam Rayburn, “Anda tidak boleh menjadi pemimpin dan meminta orang mengikut anda, kecuali anda juga tahu bagaimana menjadi pengikut”.

Mungkin sudah sampai masa DAP meletakkan petikan ini di depan cermin supaya ia sedar diri sebelum meminta orang lain meletak jawatan.

Oleh Ti Lian Ker,
Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA.
http://www.malaysia-today.net/132781-2/