Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak akan dinamakan dalam aduan pelucuthakan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak akan dinamakan dalam aduan pelucuthakan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (AS), menurut laporan akhbar negara itu The New York Times.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dilibatkan dalam saman difailkan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat semalam kerana aduan yang dibuat adalah bagi penyitaan aset, kata Peguam Negara Amerika Syarikat, Loretta E Lynch.

Ditanya jika terdapat satu usaha diatur untuk tidak menamakan Najib, beliau berkata: “Persetujuan kami adalah hanya untuk mendraf aduan sebagaimana lazim dilakukan dalam isu perampasan. Ia adalah satu aduan bagi memperolehi penahanan dan penyitaan aset berkaitan,” katanya.

“Kami mahu menjelaskan kepada pegawai-pegawai rasuah di seluruh dunia bahawa kita akan berusaha bersungguh-sungguh dalam usaha kita untuk menghalang mereka menikmati hasil jenayah ini,” katanya.

Beliau berkata tindakan untuk merampas aset yang dibeli menggunakan apa yang penyiasat percaya dari dana 1MDB adalah untuk membantu kerajaan Malaysia, yang masih rakan karib Amerika Syarikat, terutama dalam usaha memerangi keganasan.

“Usaha ini akhirnya memberi manfaat kepada negara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam siding media yang dipancar secara langsung dari Washington di laman Jabatan Keadilan.

Najib sebelum ini telah dibersihkan daripada salah laku dalam kes derma RM2.6 bilion dan dana RM42 juta daripada SRC International.

Beliau tidak disiasat berhubung 1MDB, tetapi kekalkan menegaskan beliau tidak pernah menggunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi.

Sementara itu, Reuters melaporkan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat memfailkan permohonan bagi menyita hartanah di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Menurut laporan itu, permohonan Jabatan Keadilan itu bagaimanapun tidak menamakan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ia bagaimanapun menamakan Low Taek Jho atau Jho Low; anak tiri Najib, Riza Aziz, pegawai kerajaan Abu Dhabi, Khadem al-Qubaisi dan Mohamed Ahmed Badawy Al-Husseiny.

Akhbar New York Times pula melaporkan pihak berkuasa Amerika Syarikat memohon untuk menyita aset bernilai USD1 bilion yang didakwa dibeli menggunakan wang yang diseleweng daripada 1Malaysia Development Board (1MDB).

Melalui kedua-dua laporan itu, Jho Low disebut memainkan peranan penting dalam kes ini.