Secara asasnya membantu 1MDB dan Kerajaan Malaysia untuk mendapatkan kembali dana yang disyaki dicuri dari entiti negara itu.

Saya telah membaca kenyataan oleh Peguam Negara Amerika Syarikat Loretta E. Lynch terhadap tindakan yang diambil dibawah Inisiatif Penyitaan Aset Kleptokrasi US yang berkaitan dengan pembekuan dan penyitaan aset dan hartanah di dalam kes penggelapan, penyalahgunaan dan penggubahan dana oleh beberapa individu warganegara Malaysia dan asing di dalam skandal 1MDB.

Saya fikir kita patut mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan langkah ini kerana ia secara asasnya membantu 1MDB dan kerajaan Malaysia untuk mendapatkan kembali dana yang disyaki dicuri dari entiti negara itu.

Di bawah Inisiatif Penyitaan Aset Kleptokrasi US, sebarang aset atau dana yang telah disita akan dikembalikan kepada entiti atau kerajaan yang menjadi mangsa perlakuan jenayah itu.

Dan Loretta telah bertegas tidak akan ada dakwaan jenayah terhadap sesiapa kerana ianya adalah prosiding sivil, dan Perdana Menteri tidak akan terbabit mahupun dinamakan di dalam prosiding itu.

Saya bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri dan 1MDB di atas isu ini. Walaubagaimanapun, saya mencadangkan PDRM supaya segera melengkapkan siasatan mereka dan mempertimbangkan bantuan dan kerjasama dari FBI untuk maklumat risikan dan siasatan mereka setakat ini untuk memastikan dalangnya dibawa ke muka pengadilan.

Oleh Datuk Zulkifli Nordin.