Sekarang adalah masa untuk DAP libatkan diri dengan pengundi dan memberi tindak balas yang boleh diterima

Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (BERSIH) menggesa DAP agar mempertimbangkan semula rancangan untuk mengadakan pilihan raya mengejut Pulau Pinang, jika benar khabar angin yang kian bertiup kencang itu.

Kata BERSIH, pihaknya amat bimbang dengan khabar angin itu dan menuntut parti itu menjelaskan tujuan dan keperluan untuk pilihan raya negeri lebih awal.

“Kami menggesa DAP mengambil lebih banyak masa untuk berunding dan memikirkan semula tentang pilihan raya mengejut ketika negara kini dalam masalah kepemimpinan untuk berdepan isu tadbir urus dan resolusi mengenai bebanan ekonomi.

“Sebagai sebuah parti politik yang mendakwa bertanggungjawab, sekarang adalah masa untuk DAP libatkan diri dengan pengundi dan memberi tindak balas yang boleh diterima, jika tidak, mereka harus melupakan idea untuk mengadakan pilihan raya mengejut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebentar lagi, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dijangka memberi taklimat kepada pemimpin PKR mengenai kemungkinan pilihan raya mengejut diadakan di negeri itu.

Terdahulu, Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong memberitahu, cadangan DAP untuk mengadakan pilihan raya mengejut sebagai pungutan suara bagi mengukur sentimen orang ramai terhadap dua tuduhan rasuah melibatkan Guan Eng tidak wajar dilaksanakan.

Beliau berkata, langkah itu sebenarnya hanya bermotifkan politik dan bertujuan mengalih perhatian orang ramai daripada tuduhan yang dikenakan terhadap Lim.

Sumber:http://www.malaysiakini.com/news/349113