Tindakan Peguam Negara Amerika Syarikat minggu ini kurang berisiko. Tiada pendakwaan jenayah.

1. Amerika Syarikat adalah satu negara yang kuat dan berkuasa, namun ia tidak bermakna secara automatik mereka adalah sentiasa betul atau bijak. Kerajaan Amerika Syarikat memiliki kuasa ketenteraan, diplomatik, perisikan dan sumber penyelidikan yang terbesar berbanding negara lain, namun tetap berperang di Iraq hingga mengorbankan rakyat mereka untuk menghapuskan senjata pemusnah yang tidak pernah wujud. Mereka boleh dipesongkan dan mudah terpesong.

2. Tindakan Peguam Negara Amerika Syarikat minggu ini kurang berisiko. Tiada pendakwaan jenayah terhadap sesiapa. Peguam Negara menggunakan banyak masa melalui penerangannya semalam untuk menyampaikan mesej kepada dunia, Amerika Syarikat tidak akan bertolak ansur kepada penyalahgunaan sistem perbankan di negara itu. Tidak seperti negara lain, Jabatan Keadilan Amerika Syarikat boleh memohon kepada mahkamah untuk menyita aset TANPA MEMERLUKAN MEREKA MEMBUKTIKAN SEBARANG SALAHLAKU. Gila bukan? Tetapi itulah hakikatnya.

3. Di bawah undang-undang Amerika Syarikat, kerajaan negara itu berhak menyita aset dan mencabar pemiliknya untuk memberi jawapan. Pemilik tidak akan dibicarakan untuk sebarang jenayah tetapi perlu menggunakan mahkamah untuk mendapatkan kembali aset dengan melawan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat, di mana dalam kes ini, ia menyalurkan satu gelombang maklumat salah yang disumberkan daripada Kempen Anti Najib diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad.

4. Kerajaan Amerika Syarikat telah menyatakan aset yang mereka akan sita adalah milik 1MDB. Namun, ia bukan, seperti dinyatakan oleh akauntan dan juruaudit serta pihak bank. Apa jua kritikan terhadap pengurusan 1MDB, apa jua kelemahan dalam proses dan operasi mereka, pihak berkuasa tidak mengesan sebarang kerugian sebagaimana didakwa ditemui Jabatan Keadilan Amerika Syarikat. Ini bukan kali pertama Kerajaan Amerika Syarikat melampaui apa yang didakwa Tun Mahathir kononnya menemui kehilangan wang RM42 bilion daripada akaun 1MDB. Kedua mereka tidak mungkin betul. Kedua-duanya silap.

5. Sebab untuk hal ini sangat mudah. Pergerakan jumlah wang yang begitu besar merujuk kepada Timur Tengah adalah di luar kawalan 1MDB atau Malaysia. Apabila 1MDB enggan membayar satu hutang kepada sebuah syarikat UAE, ia bukanlah kerana 1MDB tidak mampu, tetapi adalah bagi menyelesaikan satu pertikaian yang berpunca daripada urusan yang berlaku di UAE dan bukannya Malaysia.

6. Apabila wang dipinjamkan kepada Malaysia, atau dipinjam daripada Malaysia, ia sudah dibayar balik. Pada 2009, 1MDB melabur dengan PetroSaudi International dalam aset minyak negara asing. Aset yang disumbang PetroSaudi menemui kegagalan, namun mereka membayar balik kepada pelaburan Malaysia, dengan faedah. Mereka meminjam lagi daripada Malaysia melalui bon Islamik dan sudah membayar penuh hutang itu.

7. Adalah mudah untuk keliru akan perhubungan pelaburan dengan PetroSaudi, yang sebahagiannya dimiliki Putera Diraja Arab Saudi, dan pada masa sama Perdana Menteri mempunyai hubungan rapat dengan Almarhum Raja Abdullah. Ia melibatkan penyaluran kewangan yang kompleks yang dikendalikan oleh Arab Saudi. Mereka yang mahu menyahstabilkan Malaysia dengan sengaja menggunakan keduanya untuk mencetuskan kesalahfahaman. Namun ia adalah isu berbeza dan sudah diperincikan oleh Bank Negara.

8. Bagi dana dipersoalkan disumberkan daripada UAE dan mahu disita oleh Amerika Syarikat, adalah jelas ia adalah dana yang disalurkan di LUAR Malaysia, dan di LUAR perniagaan 1MDB. Kerajaan Amerika Syarikat perlu ingat, mana-mana individu atau syarikat adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

9. Situasi Malaysia adalah jelas. Dua keutamaan kerajaan adalah memastikan kekayaan negara selamat dan ekonomi bercambah, dan memastikan semua hidup dalam harmoni dan selamat. Polisi luar negara Malaysia dipandu oleh kepimpinan yang kukuh dan hubungan rapat dengan negara yang memahami polisi luar biasa kerajaan Malaysia dalam menguruskan hubungan rapat antara kaum dan sosial serta keutuhan ekonomi.

10. Ucapan Peguam Negara Amerika Syarikat semalam menggemakan semua serangan oleh pengkritik yang telah dilakukan terhadap Malaysia sebelum ini. Apabila Kerajaan Amerika Syarikat mendapat akses kepada maklumat yang sudah dimiliki pihak berkuasa Malaysia dan Arab Saudi untuk sekian lamanya, mereka akan sedar maklumat yang disalurkan anggota Kempen Anti Najib diketuai Mahathir adalah tidak benar.