Tak Macam Mahathir Bina KLCC Guna 100% Khidmat Asing, Projek ECRL Libatkan Sub-Kontraktor Tempatan

Tak Macam Mahathir Bina KLCC Guna 100% Khidmat Asing, Projek ECRL Libatkan Sub-Kontraktor Tempatan

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi blognya terus mengkritik kerjasama Malaysia-China dengan dakwaan hutang negara semakin meningkat setelah menandatangani perjanjian membina Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL).

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, asas dakwaan Dr Mahathir adalah peningkatan hutang disebabkan kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (USD).

“Pinjaman mudah diberi Export-Import Bank dari China berasaskan beberapa terma dengan kadar faedah yang rendah dan bertempoh 20 tahun. Ianya juga menggunakan mata wang Ringgit Malaysia dan bukannya di dalam USD atau Yuan seperti yang didakwa oleh Tun Mahathir,” katanya menerusi kenyataan kepada media.

Mengulas lanjut, keputusan kerajaan melantik kontraktor daripada China untuk membina ECRL ekoran kepakaran negara berkenaan yang sudah membina lebih 125,000 kilometer landasan keretapi di negara republik berkenaan.

“Walaupun kontraktor utamanya akan terdiri daripada syarikat pembinaan terbesar di China, perjanjian kita adalah untuk memberi sebahagian kerja kepada sub-kontraktor tempatan. Akan berlaku juga pemindahan teknologi nanti.

“Struktur penglibatan kontraktor tempatan bagi projek ini berbeza dengan pembinaan (menara berkembar) KLCC di mana arkiteknya merupakan warga Argentina, sementara menara 1 dibina kontraktor Korea Selatan manakala menara 2 dari syarikat Jepun,” kata Rahman yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

ECRL Sasar 70% Pekerja Tempatan

Berkata lanjut,  beliau kesal apabila bekas Perdana Menteri yang kini menyertai musuh ketatnya dari DAP terus menerus menyerang usaha kerajaan memajukan negara.

“ECRL dijangka akan melonjak tambahan 1.5% pertumbuhan KDNK negeri-negeri pantai timur dan membantu negeri-negeri pantai timur mengecap pembangunan setara dengan negeri di pantai barat.

“Tambahan pula, ECRL akan menghubungkan terus perlabuhan Kuantan dan Kemaman dengan perlabuhan Klang di pantai barat memberi kelebihan dari segi logistik dan perkapalan Malaysia

“Laluan utama sepanjang 688km serta 20km landasan tambahan akan mengubah segala-galanya,” jelasnya.

najib ecrl Pertumbuhan Sebenar Di Pantai Timur, Pembangkang Mahu Menyoal Manfaatnya?

Dalam ada itu, mengulas mengenai kenyataan Dr Mahathir berulang kali mendakwa hutang kerajaan membawa negara ke ambang muflis,  Abdul Rahman menegaskan Dr Mahathir kini mengulangi apa yang didakwa terhadapnya oleh DAP sejak 1960-an lagi.

“Kami ingin bertanya kepada Dr Mahathir, mengapa Malaysia tidak bankrap apabila beliau menggandakan hutang negara lebih dua kali ganda daripada 44% kepada 103% nisbah hutang kepada KDNK pada 1986 dalam tempoh 5 tahun beliau menjadi Perdana Menteri.

“Jika negara tidak bankrap pada kadar 103.4%. Jadi bagaimana dengan nisbah hutang sekarang berbanding KDNK pada kadar 54% boleh menyebabkan Malaysia jatuh bankrap?

“Susah untuk mempercayai kata-kata Tun Mahathir sekarang ini. Oleh kerana agenda politik serta dendam peribadinya, beliau sudah berpaling daripada apa yang beliau katakan dahulu – antaranya termasuk pandangannya terhadap Anwar Ibrahim, BERSIH, George Soros dan meminta siasatan asing.

“Walaubagaimanapun, dengan berbohong dan membuat tuduhan tidak berasas dengan merendah-rendahkan kepercayaan terhadap ekonomi negara dan secara aktif mensabotaj perjanjian dan pelaburan dagangan asing, anda (Dr Mahathir) membantu memusnahkan ekonomi Malaysia,” katanya lagi.

Sumber: Malaysian Digest