Kami Hilang Seorang Anak Sarawak Yang Hebat

‘Kami Hilang Seorang Anak Sarawak Yang Hebat’

Laman media sosial mula dibanjiri penghargaan daripada netizen, termasuk ahli politik susulan pemergian Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem kira-kira 1.20 tengah hari tadi.

Ramai pengguna Twitter memuji presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu.

Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) merangkap Menteri Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Sim Kui Hian berkata: “Kami kehilangan seorang anak Sarawak hebat yang mengabdikan seluruh hidupnya kepada rakyat.”

Pemimpin Barisan Nasional lain turut menyuarakan kesedihan di Twitter dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan beliau akan terbang ke Sarawak.

“Malaysia hilang seorang pemimpin berkebolehan,” tulisnya dalam Twitter.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerusi Twitter turut mengucapkan takziah kepada keluarga Adenan serta rakyat Sarawak.

“Salam takziah kepada Puan Sri Jamilah serta seluruh ahli keluarga dan seluruh rakyat negeri Sarawak atas pemergian Tan Sri Adenan Satem. Semoga rohnya ditempatkan bersama hambanya yang beriman dan beramal soleh.”

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai pula berkata: “Malaysia kehilangan seorang pemimpin hebat.”

Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan menulis: “Sangat terkejut. Kehilangan besar kepada semua #Malaysians. Takziah kepada keluarga dan rakyat Sarawak.”

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin turut mengucapkan takziah kepada isteri Adenan Jamilah, keluarga dan rakyat Sarawak.

Ahli Parlimen Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, perjuangan Adenan demi masa depan Sarawak yang lebih baik akan diteruskan.

“Takziah diucapkan kepada ahli-ahli keluarga CM Adenan & rakyat Sarawak. Perjuangan beliau untuk Sarawak yang lebih baik akan diteruskan.”

Ketua Menteri Sarawak Adenan Satem Meninggal Dunia

Orang ramai turut mengucapkan takziah atas pemergian Adenan di Twitter.

Seorang pengguna Twitter dengan nama akaun Ahmad Tarmidzi menyifatkan Adenan sebagai pejuang Sarawak yang sebenarnya.

“Beliau berjuang untuk kita, rakyat Sarawak,” tulisnya sambil menambah akan mendoakan ahli politik kanan itu ditempatkan di kalangan orang beriman.

Seorang lagi pengguna Twitter, Miz_PhinzSJ berkata, ia merupakan hari menyedihkan bagi Sarawak kerana negeri itu “kehilangan pemimpin yang baik”.

Sumber: FMT