Ketua Menteri Sarawak Adenan Satem Meninggal Dunia

Ketua Menteri Sarawak Adenan Satem Meninggal Dunia

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, 72, meninggal dunia kira-kira 1.20 tengah hari tadi di Institut Jantung Negara (IJN), Hospital Umum Sarawak di Kota Samarahan.

Ini disahkan Menteri Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian, yang juga pakar kardiologi dan berpengalaman merawat pemimpin veteran itu.

Ketua Menteri Sarawak Adenan Satem Meninggal Dunia

Adenan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak, dimasukkan ke Pusat Jantung HUS kelmarin selepas mengadu mengalami keletihan melampau dan kesukaran bernafas.

Antara yang terawal menziarahi jenazah Adenan ialah Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud yang bergegas ke Pusat Jantung HUS sejurus dimaklumkan berita berkenaan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Abang Johari Abang Openg, dijadualkan mengadakan sidang media berhubung kematian Adenan di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya jam 3.30 petang ini.

Ia dijadual dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Morshidi Abdul Ghani.

Sementara, pemimpin-pemimpin negara dan barisan Kabinet serta ahli politik turut memuat naik ucapan takziah di laman Twitter masing-masing, mengesahkan pemergian Allahyarham.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi laman Twitter turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian tokoh politik terkenal itu.

“Jasa Allahyarham kepada Sarawak amat besar, Malaysia kehilangan seorang pemimpin berwibawa. Takziah kepada keluarga. Semoga roh dicucuri rahmat. Al-Fatihah,” tulis Najib dalam entrinya.

Adenan, yang dilahirkan pada 27 Januari 1944 di Kuching Sarawak meninggalkan isteri Puan Sri Jamilah Anu dan lima anak.

Ketua Menteri Sarawak Adenan Satem Meninggal Dunia

Allahyarham yang merupakan Ketua Menteri Sarawak kelima mempunyai rekod yang cemerlang dalam politik – memenangi kesemua kerusi negeri dan parlimen yang pernah ditandinginya sejak 1979.