MalaysiaKini Buktikan Rafizi Lebih Teruk Dari Hantu

Malaysiakini Buktikan Rafizi Lebih Teruk Dari Hantu

Pasukan Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) hari ini menganggap Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli sebagai pendek akal kerana tidak berpandangan jauh dan secara strategik terhadap pembinaan MRT Malaysia.

Sebaliknya kata pasukan itu dalam satu kenyataan media, Rafizi mementingkan diri sendiri dan menggunakan fakta tidak benar dalam mencetus kebencian kepada kerajaan walhal projek pengangkutan awam itu memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat.

Berikut adalah kenyataan penuh Pasukan Komunikasi Strategik BN yang dikeluarkan kepada media sebentar tadi:

Rafizi Akhiri 2016 Dengan Pendekatan 'Syok Sendiri'

1. Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada wartawan Malaysiakini terdiri daripada Alyaa Azhar, Aidila Razak dan Nigel Aw yang membuat pengesahan fakta dalam persoalan mengenai projek MRT antara pihak kami dan Ahli Parlimen Pandan dari PKR, YB Rafizi Ramli.

2. Kami menggesa Malaysiakini dan pelbagai organisasi lain untuk meneruskan usaha seumpama ini iaitu membuat pengesahan fakta berikutan pihak pembangkang berterusan membuat pembohongan tanpa henti dalam usaha mereka menghasut rakyat demi kepentingan politik Pakatan.

Secara khusus, kami meminta Malaysiakini untuk turut membuat pemeriksaan fakta dalam persoalan yang diperkatakan antara Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng mengenai lebihan bajet terkumpul kerajaan Pulau Pinang adalah berikutan penjualan tanah serta aset negeri adalah bagi menampung perbelanjaan pentabdbiran kerajaan Pulau Pinang yang meningkat sebanyak tiga kali ganda antara 2008 hingga 2015.


Baca juga: Rafizi Akhiri 2016 Dengan Pendekatan ‘Syok Sendiri’
Baca juga: Jika Ikut Hasutan Rafizi, MRT Tidak Akan Siap
Baca juga: Rafizi Belum Puas Berbohong

3. Pemeriksaan fakta oleh Malaysiakini turut mengesahkan apa yang diutarakan pihak kami terhadap pembohongan berterusan YB Rafizi melalui pelbagai kenyataan dan sidang media beliau. Antaranya ialah:

a) YB Rafizi secara jelas telah silap dengan mendakwa kos bagi MRT1 SBK ialah RM21 bilion bagi laluan sepanjang 21km walhal ia adalah bagi laluan 51km, lantas mendakwa kos bagi setiap kilometer adalah RM1 bilion. Ini jelas menunjukkan apa yang didakwa YB Rafizi terlebih kiraan iaitu sebanyak RM30 bilion.

b) YB Rafizi turut menggunakan satu projek terowong kosong di Barcelona dengan mendakwa ia adalah satu projek MRT lengkap dalam usahanya untuk membuat perbandingan seterusnya menuduh projek MRT Malaysia adalah lebih mahal daripada projek di Sepanyol itu.

c) YB Rafizi turut menggunakan maklumat daripada blog WordPress tidak sahih menggunakan nama ‘Pedestrian Observation’ di mana ia telah dibuktikan silap. Memburukkan keadaan lagi, YB Rafizi turut menggunakan maklumat secara berpilih melalui dua contoh paling murah daripada 25 contoh projek MRT sebagai usahanya untuk menuduh kerajaan terlebih bayar.

Malaysiakini Buktikan Rafizi Lebih Teruk Dari Hantu

Satu-satunya bahagian di mana Malaysiakini telah mempersoal kenyataan kami ialah apabila mereka tidak bersetuju dengan kos yang disebutkan kami bagi projek laluan MRT Seoul. Bagaimanapun, kos yang dinyatakan Malaysiakini juga berbeza daripada apa yang disebut YB Rafizi. Untuk ini, kami tinggalkan isu ini dahulu.

4. Sekali lagi, kami ucapkan terima kasih kepada Malaysiakini kerana melakukan pemeriksaan fakta bagi mengesahkan apa yang telah kami utarakan. Adalah mengejutkan dan memalukan apabila seorang Ahli Parlimen sanggup bertindak sedemikian untuk memperdaya dalam usahanya untuk menghasut masyarakat untuk membenci kerajaan.

Kami dapati YB Rafizi tidak pula memohon maaf atau mengakui kesilapannya bagi tuduhan tidak bersandarkan fakta ini. Apapun, kami tidak terlalu berharap beliau akan ‘jujur’ untuk berbuat demikian.

Beliau turut berulangkali menggelar kami ‘hantu’ tetapi Malaysiakini sudahpun menunjukkan YB Rafizi ini lebih teruk daripada hantu.