Azmin Amat Berang Dengan Rafizi

Azmin Amat Berang Dengan Rafizi

Minggu yang sudah telah menjadi saksi kepada ketegangan dalam kalangan kepimpinan tertinggi PKR.

Ia melibatkan serangan terbuka Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli terhadap PAS. Pemimpin parti, terutamanya Timbalan Presiden Azmin Ali dikatakan begitu marah apabila mendapat tahu mengenai kejadian ini tidak lama selepas ianya disiarkan di dalam internet. Ianya menjadi tumpuan wartawan kerana tindakan Rafizi ini berkemungkinan akan memutuskan terus hubungan dengan PAS yang diketahui memang sedia tegang.

Rafizi Mahu Hubungan Politik PAS-PKR Putus Untuk Singkir Azmin

“Beliau hanya mengetap bibir apabila membaca kenyataan Azmin itu,” menurut seorang pembantu Azmin. “Beliau marah. Anda tidak akan menyukainya jika beliau sedang marah. Terutamanya sekarang.”

Walaubagaimanapun Azmin memilih untuk berdiam diri bagi memastikan keharmonian kerjasama tiga parti di dalam kerajaan Selangor terjaga.

Tambahan pula, beliau kini dalam mood yang sangat baik sejak Tuanku Sultan Selangor memperkenankan polisi penjagaan kesihatan pentadbiran Azmin, seperti yang dititahkan baginda pada pembukaan sidang DUN pada bulan lepas.

Tidak mungkin Azmin akan membiarkan permainan politik dari Rafizi; yang sememangnya diketahui adalah musuh Azmin, akan menjejaskan sinar yang diterima Azmin di Selangor. Tambahan lagi Ketua Umum PKR sendiri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan hubungan dan kerjasama politik dengan PAS sentiasa baik dan sentiasa ditingkatkan.

Perjanjian yang temeterai antara dua parti ini menjadi faktor utama yang menstabilkan kerajaan Azmin, terutamanya selepas Pakatan Rakyat tumbang akibat perseteruan hebat antara DAP dan PAS.

Amboi Sombongnya Azmin Ali Walhal Jadi Menteri Besar Pun Hasil Sokongan PAS

Walaubagaimanapun, kenyataan-kenyataan Rafizi sejak beberapa bulan ini ditafsirkan sebagai satu cubaan memutuskan hubungan PAS dengan pentadbiran Azmin. Dengan ini kedudukan Azmin sebagai Menteri Besar akan menjadi seperti telur di hujung tanduk.

“Rafizi kini semakin aktif menyerang Abdul Hadi Awang dan PAS, walaupun beliau sendiri nampak usaha terbuka Azmin dan pemimpin parti yang lain, termasuklah Naib Presiden Tian Chua untuk menyelamatkan dan mengekalkan hubungan dengan PAS,” ujar seorang pemimpin PKR Selangor.

Syak wasangka yang sama turut diluahkan oleh Timbalan Presiden PAS merangkap Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, yang sentiasa sahaja bersedia memberikan pandangan berkenaan situasi ini.

“Nampak Rafizi begitu bersungguh untuk memastikan hubungan dengan PKR putus, supaya Azmin dan orang-orangnya boleh dijatuhkan. Hubungan PAS-PKR sentiasa baik, kerana terdapat pemimpin seperti Azmin (yang berusaha memelihara hubungan). Tetapi tindakan Rafizi seperti ingin meletakkan tembok penghalang di antara PAS dan PKR.”

Akuan Bersumpah Rafizi Hanya 'Hearsay' - Setiausaha Agung PAS

Rafizi adalah ahli politik muda yang dikenali suka menonjolkan diri dengan membuat pelbagai tuduhan liar.

Malangnya, akibat tindakan beliau itu, tuduhan-tuduhan itu kini telah menjadi saman fitnah yang menyebabkan beliau kini turun naik mahkamah. Tahun lepas, beliau telah diarahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar kerugian kepada National Feedlot Corp Sdn Bhd berjumlah RM200,000. Ianya disebabkan satu dakwaan Rafizi kononnya NFC membuat pinjaman untuk membeli hartanah yang dibangunkan oleh KL Eco City.

Ahli Parlimen Pandan itu juga terjebak dengan satu lagi kes mahkamah di mana beliau menuduh isteri Perdana Menteri menggunakan subsidi minyak untuk membeli cincin. Rafizi mempertahankan kenyataannya dan berkata itu adalah sekadar gurauan sedangkan plaintif langsung tidak merasa yang demikian.

Rafizi langsung tidak memberikan muka kepada kerajaan Azmin apabila pada tahun lepas tersebar perbualan WhatsApp yang kononnya beliau menerima aduan berkenaan tuntutan rasuah ‘wang dan perempuan’ untuk kelulusan projek-projek kerajaan negeri.

Azmin, di dalam respon terhadap dakwaan itu, berkata Rafizi adalah tidak bertanggungjawab dan berniat jahat dan berkata itu adalah satu cubaan untuk menjatuhkan imej pentadbirannya.

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail di dalam satu temu bual mendedahkan betapa Rafizi amat tidak menyenangi Azmin. Ia dikatakan berlaku Apabil Azmin dilihat sering mempersoalkan gaya kepimpinan Presiden Parti, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

“Rafizi telah menghantar satu emel yang amat panjang kepada Azmin. Beliau tidak menyukai Azmin,” ujar Saifuddin.

Rafizi & SPRM Dibidas Isu Korupsi Kerajaan Selangor

Sejajar dengan betapa pentingnya PAS kepada PKR di Selangor, tuduhan terbaru Rafizi terhadap PAS dan bekas pemimpin PAS Datuk Dr Nasharuddin Mat Isa berkenaan dana dari SRC International Sdn Bhd telah dilihat oleh pemerhati sebagai “bukan sekadar tembakan kosong”.

Profesor Dr Sivamurugan Pandian dari USM bersetuju dengan kenyataan yang Rafizi sememangnya mahukan Azmin tumbang, setelah dilihat dari bagaimana pemimpin PKR dan PAS berbalah sekarang.

“Kita telah lihat pertembungan personaliti antara Azmin dan Rafizi. Apa yang berlaku sekarang adalah disebabkan oleh permusuhan yang telah lama terjalin. Rafizi dari kem yang lain, Azmin pula mengetuai kemnya sendiri. Anda boleh lihat apa yang terjadi ketika peristiwa Langkah Kajang dan pemilihan parti. Dan sekarang, ketika Azmin berusaha memelihara hubungan dengan PAS, Rafizi cuba merosakkannya.”

Hubungan PAS-PKR kini berada pada kedudukan paling teruk sejak tahun 2015, dengan pergaduhan sering terjadi di peringkat akar umbi di Sarawak ketika Pilihan Raya Negeri berlangsung pada tahun lepas dan terbaru di Pulau Pinang, apabila kesemua 13 bahagian PAS memutuskan hubungan dengan PKR.

Akhir-akhir ini protes terhadap hubungan PKR-PAS di Selangor oleh DAP dan Amanah – kedua-duanya ahli Pakatan Haapan – telah memberikan bayangan yang hubungan PAS-PKR akan berakhir.

Pemimpin PKR dan beberapa dari PAS cuba untuk menyelamatkan hubungan ini. Apa pun, Rafizi telah membawa perbalahan ini ke peringkat lebih tinggi.

Sumber: NST