Syed Saddiq Dakwa Diugut Kementerian, Kamarulazman Kata "Tak Ada Pun"

Syed Saddiq Dakwa Diugut Kementerian, Kamarulazman Kata “Tak Ada Pun”

Bekas Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kamarulazman Habibur Rahman menafikan dakwaan Ketua Armada PPBM Syed Saddiq Abdul Rahman bahawa perletakan jawatannya dipengaruhi oleh ugutan dari pihak ketiga.

“Tak benar. Tiada kaitan. Kementerian tak pernah ugut saya atau isteri,” kata Kamarul menafikan dakwaan Syed Saddiq.

kamarulazman PPBM Terlalu Pentingkan Jawatan Perdana Menteri, Kata Bekas Pengasas

Syed Saddiq menerusi satu kenyataan semalam mengulas mengenai perletakan semua jawatan digalas Kamarul sebelum bertindak melepaskan keahlian parti yang diasaskannya bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, Kamarul merupakan seorang guru menerima tekanan dari pihak luar yang mendesaknya melepaskan jawatan disamping tertekan dengan masalah PPBM peringkat negeri sembilan.

Tambah Syed Saddiq lagi, selain Kamarul, isterinya turut menerima desakan yang sama.

“Saya tahu sebelum ini cikgu telah pun diugut oleh pihak kementerian malah isteri cikgu juga telah diugut,” katanya tanpa mendedahkan butiran lanjut.

Perletakan jawatan Kamarul merupakan antara siri perletakan jawatan pemimpin PPBM sebelum ini dimulai oleh orang kuat Dr Mahathir sendiri, Khairuddin Abu Hassan diikuti dengan Datuk Ezam Md Noor sebelum pengunduran Kamarul, semalam.

Selain itu, 60 ahli PPBM mengisytiharkan untuk melepaskan keahlian secara beramai-ramai diikuti 500 ahli lagi dari cawangan Rembau.

Kamarul dalam sidang media semalam mendakwa seramai 681 lagi ahli PPBM Negeri Sembilan akan membuat perkara sama.

Siri perletakan jawatan besar-besaran ini kata penganalisis politik Zakhir Mohamed ekoran daripada kekecewaan berganda ahli-ahli dan bekas pemimpin UMNO yang menyertai parti Tun Dr Mahathir.

Pemimpin PPBM Akui Ahli Parti Tiada Kualiti

“Sebuah parti yang ditubuhkan di atas dasar kekecewaan oleh bekas pemimpin dan ahli UMNO yang kecewa kebiasaannya akan mengecewakan dan akan terus mendatangkan kekecewaan terutama bagi penyokong akar umbi kerana tujuan asalnya tidak suci.

“Terdapat banyak cerita pergolakan dalaman yang cuba dibenamkan sedalam-dalamnya oleh ketua protem dan ahli jawatankuasanya,” ujarnya dipetik kenyataan blog beliau, bigdogdotcom.

Katanya, PPBM sukar untuk membentuk dasar yang kuat bagi mengukuhkan kedudukan keahliannya termasuk di Kedah yang merupakan negeri kelahiran Dr Mahathir dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang merupakan Pengerusi dan Timbalan Presiden parti berkenaan.

“Tidak mengejutkan bahawa setiap kapal (PPBM) yang berada dilautan kini sudah mula tenggelam, sebelum ianya berlepas ke medan tempur,” kata Zakhir lagi.

Sumber: Malaysian Digest