doj Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat Dicabar Dedahkan Identiti Pengadu

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat Dicabar Dedahkan Identiti Pengadu

Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat perlu mendedahkan identiti pengadu berhubung langkah yang diambil jabatan terbabit merampas aset RM2.3 bilion yang didakwa milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata secara jelas siasatan DOJ itu dicetuskan oleh aduan yang dibuat oleh pihak tertentu.

Saman Sivil DoJ: Satu Jenayah Tanpa Mangsa?

“Saya mengesyaki pengadu terbabit adalah rakyat Malaysia yang mempunyai agenda politik jahat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan.

“Malaysia berhak mengetahui siapa pengadu terbabit dan DOJ perlu mendedahkan identiti mereka supaya Malaysia dapat mengesahkan apa kaitan pengadu terbabit dengan agenda parti pembangkang bagi menggulingkan Perdana Menteri dan kerajaan yang dipilih secara demokrasi di Malaysia, ” katanya dalam kenyataan hari ini.


Baca Juga: Memahami Saman Sivil Yang Difailkan Jabatan Kehakiman Amerika
Baca juga: 10 Pemerhatian Tentang Saman Sivil DoJ Pada Jun 2017 Berkaitan 1MDB

Abdul Rahman yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, berkata sebagai sebuah negara berdaulat,  Malaysia menjalankan siasatan terperinci dakwaan terhadap 1MDB.

“Secara khususnya, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC), keanggotaannya daripada ahli parlimen penyokong kerajaan dan pembangkang, tidak menemui sebarang bukti dana diseleweng dari 1MDB.

Dakwaan DoJ Perlu Dibuktikan Di Mahkamah Sebelum Boleh Diterima Sebagai Fakta

“1MDB bukanlah pihak yang disaman dalam saman sivil berkenaan. Malah aset yang didakwa DOJ diperoleh dari sumber yang salah dan mahu dilucut hak. Secara faktanya… dibeli oleh entiti yang tidak dimiliki atau dikawal mahupun berkaitan dengan 1MDB, ” katanya.

Selain itu, katanya, dakwaan yang dibuat oleh DOJ perlu dibuktikan di mahkamah terlebih dahulu, sebelum ia boleh diterima sebagai fakta.

Katanya, meskipun DoJ mempunyai hak memfailkan saman sivil, adalah penting setiap saman dibuat berlandaskan kepada fakta yang boleh dibuktikan dan bukannya berpegang kepada kenyataan retorik tanpa asas serta mempunyai niat tidak baik.