apandi Kenyataan Peguam Negara Berkaitan Saman Sivil Terbaru Jabatan Kehakiman Amerika

Kenyataan Peguam Negara Berkaitan Saman Sivil Terbaru Jabatan Kehakiman Amerika

Jabatan Peguam Negara (AGC) melahirkan kekecewaan terhadap Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) kerana memfailkan satu lagi tindakan sivil berkaitan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB), tanpa memaklumkan kepada jabatan itu.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam satu kenyataan awal pagi ini berkata, tindakan itu merupakan saman ulangan kepada tuntutan pertama yang difailkan pada tahun lalu.

Beliau turut menyifatkan saman tersebut bertujuan menyindir Perdana Menteri atas dakwaan salah laku jenayah sedangkan tiada sebarang keterangan dalam tuntutan sivil DoJ yang menamakan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai defendan ataupun didakwa melakukan sebarang kesalahan jenayah.

Ujar beliau, AGC mengambil maklum tentang tindakan undang-undang terbaharu yang dikemukakan oleh DoJ dan menyedari ia diambil setahun selepas tindakan undang-undang serupa dibuat jabatan terbabit.

“Kami melahirkan kekecewaan kerana sekali lagi Jabatan Peguam Negara tidak dimaklumkan oleh DoJ tentang tindakan ini,” kata beliau.


Baca juga: Peguam Kanan Australia: Tindakan Jabatan Kehakiman Amerika Cacat Dari Segi Perundangan
Baca juga: Peguam Kanan Australia: Saman Sivil DoJ Adalah Konspirasi Pembohongan Untuk Serang Kerajaan Malaysia

Kenyataan Peguam Negara:

Jabatan Peguam Negara Malaysia (AGC) maklum tentang tindakan undang-undang sivil terbaru oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat. Tindakan kedua ini datang pada ulang tahun tindakan yang pertama, dan nampaknya adalah ulangan yang pertama. Kami ingin merakamkan kekecewaan bahawa sekali lagi AGC tidak dimaklumkan oleh DoJ berkenaan tindakan ini.

Kami juga maklum bahawa tidak ada sebarang bukti dari sebarang penyiasatan yang dijalankan oleh mana-mana agensi penguatkuasaan undang-undang dalam pelbagai bidang kuasa yang menunjukkan bahawa wang telah disalahgunakan dari 1MDB; dan bahawa tidak ada sebarang tuduhan jenayah terhadap mana-mana individu untuk penyelewengan dana daripada 1MDB.

1MDB adalah sebuah syarikat Malaysia dan telah menjadi subjek beberapa siasatan dalam Malaysia, termasuklah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira dwipartisan. Selepas semakan, kami mendapati bahawa tidak ada jenayah yang telah dilakukan. Pada masa ini masih terdapat penyiasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia mengenai 1MDB.

Kami ingin merakamkan kebimbangan kuat pada implikasi salah laku jenayah yang telah dibuat terhadap Perdana Menteri. Tiada langsung dalam tuntutan sivil itu di mana Perdana Menteri telah dinamakan sebagai defendan atau telah didakwa melakukan sebarang salah laku.

Setakat ini AGC masih belum menerima sebarang permintaan daripada DoJ untuk mendapatkan sebarang maklumat atau bukti. Walau bagaimanapun, kami mengalu-alukan permintaan seperti itu selaras dengan komitmen kami untuk kerjasama antarabangsa dan memerangi pengubahan wang haram.

Seperti yang telah saya janjikan sebelum ini, AGC tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan perbuatan jenayah dengan syarat terdapat bukti yang mencukupi untuk berbuat sedemikian. Sebarang salah laku akan dihukum dan Malaysia akan sentiasa mendukung kedaulatan undang-undang.

TAN SRI DATO’ SRI HAJI MOHAMED APANDI BIN HAJI ALI,
PEGUAM NEGARA MALAYSIA
16 JUN 2017