MRT Sistem Pengangkutan Bertaraf Dunia

MRT Sistem Pengangkutan Bertaraf Dunia

Petang semalam saya dan keluarga berkesempatan meninjau dan mencuba sendiri tren fasa kedua MRT laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) yang telah siap dan bakal beroperasi sepenuhnya pada 17 Julai 2017 depan.

Turut menemani adalah rakan-rakan online saya antaranya Karl Syafek, Ridwan Mustafa, Akwa Arifin, Roselan Rosli, Kamaruzaman Adlan, Puteri Balqish, Faiz Dickie, Kuan Chee Heng, Fuzana Mokhtaza, Ibrahim Shahrudin, Shahril Sarapuddin, William Cheah serta YiLyn Chan yang rata-ratanya teruja untuk merasai pengalaman menaiki tren yang akan melalui beberapa stesen bawah tanah.

MRT Malaysiakini, Penumpang Mana Yang Dipaksa Ke Belakang Untuk Beri Laluan Rombongan PM?

Dr G.Balamurugam yang merupakan Perunding Alam Sekitar memuji kecanggihan sistem MRT. Beliau turut bertanya bagaimana perasaan saya sebagai pemandu projek ini yang pada awalnya menerima banyak tentangan daripada penduduk terutamanya di kawasan bandar. Contohnya, di Taman Tun Dr Ismail wujud dakwaan bahawa projek MRT akan menjejaskan kawasan setempat. Ternyata perkara ini tidak benar sama sekali apabila kini ramai rakyat kita yang menerima manfaat kesalinghubungan yang lebih holistik. Saya juga bersetuju dengan pandangan beliau bahawa untuk menjadi sebuah negara yang maju kita harus memiliki sebuah sistem pengangkutan awam yang canggih.

Sesungguhnya visi saya adalah untuk melihat sistem pengangkutan moden yang bukan sahaja boleh menghubungkan seluruh kawasan Lembah Klang, Kuala Lumpur dan Putrajaya tetapi juga sebuah sistem yang boleh digantung harap tahap efisiennya. Tahukah anda, tren kita mempunyai kadar frekuensi yang tinggi iaitu kira-kira 3.3 minit pada waktu puncak untuk setiap tren dan berupaya menampung kapasiti 1,200 orang pada satu masa?

Jika Ikutkan Undi, MRT Tak Dibina Dari Sg Buloh Ke Kajang

MRT fasa Sungai Buloh – Kajang ini hanyalah satu permulaan kepada sistem pengangkutan awam yang diimpikan penduduk sekitar Greater Kuala Lumpur.

Laluan Semantan – Kajang ini melengkapkan jajaran MRT Sungai Buloh – Kajang sepanjang 51km dan bakal melalui kawasan berpopulasi tinggi dan strategik yang memerlukan perkhidmatan rel bandar seperti Kajang dan Cheras.

MRT juga dibina untuk mengintegrasikan dengan stesen Komuter, stesen LRT dan stesen Monorel bagi meningkatkan kemudahan kesalinghubungan perjalanan untuk pengguna, contohnya Stesen Muzium Negara dihubungkan dengan stesen KL Sentral melalui laluan pejalan kaki sepanjang 240 meter yang selesa. Saya percaya ini akan memberi galakan kepada pengguna jalan raya untuk memilih pengangkutan awam. MRT turut menghubungkan destinasi-destinasi popular pelancong seperti Muzium Negara, Bukit Bintang dan Pasar Seni.

Lebih menarik lagi, 7 stesen jajaran MRT Sungai Buloh – Kajang adalah stesen bawah tanah. Ketika tren melalui terowong bawah tanah yang sedalam tujuh tingkat semalam, saya gembira menerima maklum balas saudara Harvinth Skin yang memuji kecekapan sistem yang ada. Malah, saya maklumkan kepada beliau, kini kita tidak perlu lagi ke London dan Paris untuk merasai pengalaman yang sama.

MRT Sistem Pengangkutan Bertaraf Dunia

Kami turut tertarik dengan keunikan reka bentuk stesen-stesen bawah tanah ini, di mana setiap stesen direka dengan identiti tersendiri. Stesen Merdeka yang kami lawati, mempunyai identiti Malaysia dan sarat dengan mesej kenegaraan yang boleh dihayati pengguna sementara menunggu ketibaan tren.

Suka juga saya berkongsi seperkara lagi mengenai lawatan semalam. Kami turut berpeluang untuk sama-sama merasai pengalaman menaiki perkhidmatan bas perantara yang selesa dan pada harga RM1 sahaja. Wak Doyok begitu teruja membandingkan sistem ini dengan bas mini pada tahun 1970an dahulu cuma sekarang sudah maju dengan penghawa dingin. Manalah tahu satu hari nanti kita ada bas tanpa pemandu seperti tren MRT yang kita ada pada hari ini.

Secara keseluruhannya, saya amat berpuas hati dengan infrastruktur bertaraf dunia jajaran MRT Sungai Buloh – Kajang ini yang dibangunkan, diusahakan oleh ribuan anak tempatan sejak tahun 2010. Kepada semua yang terlibat, berbanggalah dengan pencapaian anda, imbas kembali segala pengorbanan tenaga, masa beristirahat bersama keluarga dan sahabat handai. Inilah hasil keringat dan air mata anda! Saya sendiri amat bangga dengan anda semua.

Wahai rakyat Malaysia, 17 Julai ini, sama-samalah kita raikan satu lagi detik bermakna buat Negaraku, tanah airku. #JomNaikMRT

Oleh Najib Razak
Perdana Menteri Malaysia