mahathir anwar wan azizah Satu Parti Tiga 'Kepala', Logo Ciplak, Janji Kitar Semula, Pakatan Harapan Penuh Komedi

Satu Parti Tiga ‘Kepala’, Logo Ciplak, Janji Kitar Semula, Pakatan Harapan Penuh Komedi

Pengumuman struktur kepimpinan dan gerak kerja Pakatan Harapan yang diumumkan lewat malam semalam disifatkan Exco Pemuda UMNO Datuk Armand Azha Abu Hanifah sebagai tidak masuk akal dan serba tidak kena.

Kata Armand, hasil mesyuarat selama lebih 15 jam seperti dikatakan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad sekadar untuk menunjukkan kepada rakyat kononnya mereka sudah mencapai kata sepakat.

“Jelas mereka tidak dapat sebuah konsensus yang tepat. Dalam satu parti politik bagaimana boleh ada satu ketua umum, satu pengerusi, satu presiden, tiga timbalan presiden, empat naib presiden. Berdasarkan senarai yang mereka keluarkan, tidak jelas siapa yang akan mengetuai Pakatan Harapan. Malah logo pula diciplak dari Singapura,” kata Armand merujuk kepada logo baru Pakatan Harapan mirip logo Parti Demokratik Singapura.

Satu Parti Tiga 'Kepala', Logo Ciplak, Janji Kitar Semula, Pakatan Harapan Penuh Komedi

Logo Pakatan Harapan (kiri) dan logo Parti Demokratik Singapura

Selain memperkenakan logo baru, sidang media Pakatan Harapan turut memperkenalkan ‘line-up’ Majlis Presiden Pakatan Harapan sebagai persediaan menuju Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Tun Dr Mahathir Mohamad diangkat sebagai Pengerusi; Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ibrahim, Presiden Pakatan Harapan.

Tiga Timbalan Presiden dilantik;Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu, sementara Naib Presiden Pakatan Harapan disandang oleh; Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Chong Chien Jen dan Salahudin Ayub.

Di dalam sidang media sama, Pakatan Harapan bersetuju mencalonkan Anwar sebagai Perdana Menteri, namun tidak mendedahkan individu yang akan dilantik sebagai Perdana Menteri interim sementara menanti pembebasan Anwar dari penjara.

“Anwar Ibrahim akhirnya sudah mencapai apa yang diidam-idamkan sejak  beliau dilepaskan jawatan (pada 1998), iaitu kedudukan lebih tinggi daripada Tun  Dr Mahathir. Itu yang pasti,” ujar Armand.

Satu Parti Tiga 'Kepala', Logo Ciplak, Janji Kitar Semula, Pakatan Harapan Penuh Komedi

Hierarki Komedi Pakatan Harapan

Mengulas mengenai kedudukan jawatan tertinggi Pakatan Harapan, Armand mempertikaikan kedudukan Wan Azizah selaku Presiden berbanding timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Azmin lebih layak jadi Presiden PKR dan Presiden Pakatan Harapan. Sekarang ini Wan Azizah sekadar ‘benchwarmer‘ kepada Anwar Ibrahim. PKR dah macam parti suami isteri.

“Jika dilihat, Azmin Ali memegang jawatan sebagai Menteri Besar, tetapi Wan Azizah tidak mempunyai sebarang jawatan (di Selangor atau Pulau Pinang). Wan Azizah sekadar ADUN (Kajang) dan Ahli Parlimen (Permatang Pauh). Apa yang melayakkan dia sebagai Presiden?” katanya sambil menyifatkan hierarki Pakatan Harapan sebagai kelakar.

Tambah Armand, Azmin dianggap sebagai ancaman kepada Wan Azizah dan Anwar justeru beliau tidak dilantik menggalas jawatan penting dalam Pakatan Harapan. Bagi saya, sepatutnya bagi Azmin jadi Presiden,” kata Armand.

Siapa Yang Mempunyai Kuasa Eksekutif Dalam Pakatan Harapan?

Janji 100 Hari Bulan Dan Bintang

Armand juga bersetuju apabila ditanya sama ada janji yang diberikan adalah mirip janji Buku Jingga diumumkan Pakatan Rakyat pra PRU13 lalu.

Tujuh perkara dijanjikan Pakatan Harapan akan diselesaikan dalam tempoh tujuh hari selepas menjadi kerajaan iaitu; menghapuskan GST, menstabilkan harga petrol, memberi fokus kepada usaha meringankan beban rakyat, memulakan proses reformasi institusi secara menyeluruh, memerangi rasuah sehingga ke akar umbi, menubuhkan RCI skandal 1MDB dan memulihkan negara.

“Pakatan Harapan sudah tiada isu yang ingin dibawa. Isu yang mereka gunakan  untuk menghadapi pilihan raya adalah isu kitar semula. Contohnya isu GST, isu 1MDB. Ini semua kitar semula,” katanya.

Jelas beliau, sesiapa sahaja boleh memberikan janji bulan dan bintang namun perkara utama adalah pelaksanaan terhadap janji berkenaan.

“Saya pun boleh janji macam-macam kepada rakyat. Saya katakan “kalau rakyat pilih saya, minyak free, GST tiada, elektrik free, air free. Tetapi pelaksanaan perkara berbeza,” ujarnya.

Pakatan Kini Kata Tidak Akan Mansuhkan GST Jika Menang PRU14

Kata Armand, janji untuk membebaskan Anwar juga menunjukkan ketaksuban dan indoktrinisasi Pakatan Harapan terhadap pemimpin berkenaan.

Tambahnya, mereka lebih mengutamakan agenda merampas pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sehingga sanggup mengetepikan kemungkaran termasuk usaha untuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mendapatkan kebenaran di atas ketirisan yang berlaku pada zaman Dr Mahathir.

“Kita lihat penyokong-penyokong Pakatan Harapan hari ini lebih taksub pemimpin daripada isu kebenaran. Hinggakan isu yang dijatuhi hukuman melalui proses  undang-undang yang betul pun mereka ketepikan.

“Kerana nak sedapkan hati mereka dari sudut kepimpinan. Penyokong Pakatan Harapan penuh dengan taksub dengan pemimpin daripada isu berlandaskan daripada fakta,” katanya lagi.

Sumber: Malaysian Digest