Bodoh, Tak Masuk Akal Dakwa Malaysia Buat Pinjaman 50 Tahun Beli Pelancar Roket

Bodoh, Tak Masuk Akal Dakwa Malaysia Buat Pinjaman 50 Tahun Beli Pelancar Roket

Portal pro pembangkang mendakwa Malaysia telah menandatangi perjanjian membeli 12 pelancar roket AR3 dari China dan membayarnya secara ansuran dalam tempoh 50 tahun.

Portal berkenaan memetik sumbernya bernama ‘Lam’ berkata, perjanjian membeli Sistem Pelancar Roket Berganda (MLRS) dengan jarak tembakan maksima 220km dilengkapi sistem radar itu merupakan “kerjasama untuk mengeratkan hubungan Malaysia-China”.

Laporan The Malaysian Incite mengenai tawaran Sistem Pelancar Roket Berganda oleh China kepada Malaysia

“50 TAHUN? Ini hanya menunjukkan lagi kebodohan penyokong pembangkang yang tidak dapat membezakan antara piring ASTRO DTU dan ASTROS II Angkatan Tentera Malaysia,” kata bekas pegawai penyiasat ketenteraan, Kapten (B) Abdul Rahmat Tun Haniff.

“Dalam tempoh 30 tahun, sistem ASTROS sudah menjalani pelbagai naik taraf dan sistem baru dipanggil ASTROS 2020 sudah di dalam fasa pembangunan. Adakah anda katakan Malaysia akan kekal dengan sistem usang untuk jangka masa separuh abad dan masih perlu membayarnya?”

Jelas Abdul Rahmat, perbezaan ASTROS II yang dimiliki ATM kini adalah jarak tembakan maksima 90km sementara dan AR3 China sejauh 220km.

Bekas penyiasat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu berkata, adalah lebih baik ATM untuk mendapatkan ASTROS 2020 yang mempunyai jarak tembakan sehingga 300km bagi menggantikan ASTROS II.

Astros II MLRS

“MLRS adalah sistem senjata serangan. Tiada siapa beli MLRS kecuali jiran sebelah membelinya terlebih dahulu. Dalam kes Malaysia, Thailand operator pertama MLRS di rantau Asia. Jadi, kita membeli ASTROS II.

“Dua tahun selepas penghantaran kedua, Singapura membeli M-142 HIMARS Amerika Syarikat. Justeru, Singapura tidak akan berasa takut jika Malaysia diberikan AR3 China.

“Kerana jika ianya dilancarkan dari Woodlands (Singapura), tembakan HIMARS boleh mengenai Bangi dan Kajang berbanding AR3 hanya boleh menyerang Woodland jika ianya dilancarkan dari Ayer Keroh,” ujarnya menjelaskan HIMARS lebih hebat berbanding AR3 China.

Abdul Rahmat turut mempertikaikan terbitan artikel berkaitan portal berkenaan yang menyebut perjanjian pembelian AR3 China akan menempatkan aset tersebut di Johor.

Jelasnya, ianya seakan-akan cubaan untuk memburukkan hubungan Malaysia dan Singapura tambahan lagi ianya diterbitkan semalam, 9 Ogos, yang secara kebetulan adalah Hari Kebangsaan Singapura.

Beliau turut menyifatkan portal berita berkenaan sebagai ‘otak kosong’ di atas laporan mendakwa AR3 boleh dilancarkan secara jarak jauh dari China untuk menyerang Singapura dan Indonesia yang didakwa sebagai proksi Amerika Syarikat.

“Jika saya ATM, dan dalam tempoh sedekad saya mahu menggantikan ASTROS II, saya akan mendapatkan ASTROS 2020 dengan jarak peluru berpandu taktikal sejauh 300km, jika saya benar-benar mahukan sistem sebegitu.

“Jika tidak, saya akan mencari sistem yang hampir sama untuk memudahkan penggunaannya.

“Sebagai tambahan, (Perdana Menteri) Najib Razak tidak membuat musuh dengan negara jiran. Kita sudah membuat banyak musuh selama 22 tahun sebelum ini,” ujarnya dipetik Seademon Says.

Sumber: Malaysian Digest