Adakah Saya Dilupakan, Kata Anina Sempena Ulangtahun PPBM

Adakah Saya Dilupakan, Kata Anina Sempena Ulangtahun PPBM

Bekas ahli Wanita UMNO Anina Saadudin menyoal adakah PPBM mahu melupakannya walaupun beliau salah seorang daripada 7 pengasas parti itu, sempena ulangtahun pertama PPBM hari ini.

Anina yang memegang nombor keahlian 0000005 berkata beliau tidak menerima sebarang undangan ke majlis meraikan ulangtahun PPBM yang diadakan di Muar, Johor, walaupun dirinya satu-satunya “ibu” yang mengasaskan parti itu.

“Jika saya dilupakan, beritahu saya bagaimana mungkin saya percaya parti ini akan mengingati begitu ramai insan yang menggerakkan perjuangan ini sejak lebih 2 tahun yang lalu,” kata Anina dalam kenyataan hari ini.

Kesilapan Teknikal Hanya Alasan Singkir Saya, Kata Anina

Anina juga berkata beliau dikeluarkan dari semua kumpulan WhatsApp kepimpinan tertinggi PPBM namun tiada surat rasmi diberikan menjelaskan sebab musabab tindakan itu kepadanya.

“Jika parti ini gagal bersikap profesional dalam pentadbirannya, beritahu saya bagaimana mungkin saya yakin ianya mampu professional dalam mentadbir sebuah kerajaan,” tambahnya.

Anina dilantik ke Majlis Tertinggi PPBM pada November 2016 namun dilaporkan tersingkir dari semua jawatan parti berikutan satu skandal mesej seks.

Kejatuhan Anina bermula selepas tangkap layar perbualan intim dalam aplikasi WhatsApp yang didakwa antara beliau dan seorang lelaki tidak dinamakan tersebar baru-baru ini. Anina menepis dakwaan itu.

“Hanya sebuah parti bodoh akan tunduk kepada skandal bodoh,” katanya kepada FMT.

Anina Bakal Dipecat Ketua Srikandi PPBM?

Anina dikatakan mengangkat sumpah jawatan Ketua Wanita PPBM pada 2 November di majlis yang sama PPBM mengumumkan ahli Majlis Tertinggi parti itu. Bagaimanapun, PPBM pada Disember berkata Anina tidak pernah dilantik ke jawatan itu secara rasmi.

Ketika khabar angin mengatakan Anina dipecat dari jawatan itu bertiup kencang, Setiausaha Agung PPBM Datuk Shahruddin Md Salleh pada 26 Disember menjelaskan parti itu belum menubuhkan sayap Wanita secara rasmi, oleh itu kedudukan Anina yang dikatakan disingkir daripada jawatan itu tidak timbul.

“Hanya watikah angkat sumpah saya seorang dari lebih 30 orang itu yang diklasifikasikan sebagai tidak sah oleh pucuk pimpinan parti,” kata Anina hari ini, dan menambah Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir memaklumkan kepadanya jawatan beliau tidak disyorkan oleh Majlis Presiden.

“Dalam erti kata lain, saya dipecat. Sudah 9 bulan berlalu namun saya masih setia bersama parti.

“Saya difitnah oleh ahli-ahli parti kononnya menerima RM 7 juta dari UMNO dan PPBM gagal membela saya. Jika saya yang berkorban begitu banyak untuk parti juga gagal dibela oleh parti, beritahu saya bagaimana mungkin saya yakin mereka mampu membela 32 juta rakyat Malaysia.”

Anina mula terkenal selepas mengkritik Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak pada mesyuarat Umno Bahagian Langkawi pada 2015.

Sumber: FMT