Hamidah Kecewa Disuruh Berambus, Syed Saddiq Mohon Maaf Kerana Kurang Ajar

Hamidah Kecewa Disuruh Berambus, Syed Saddiq Mohon Maaf Kerana Kurang Ajar

Susulan kekecewaan Datuk Hamidah Osman yang berakhir dengan tindakan keluar parti antaranya berpunca daripada kebiadapan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tampil meminta maaf terhadap bekas Naib Presiden parti itu.

Hamidah menerusi temubual bersama Sinar TV mendedahkan beliau kecewa dengan parti yang ditubuhkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad membiarkan ketua sayap pemuda parti itu bertindak biadap terhadapnya.

Kata Hamidah, Syed Saddiq juga menuduhnya sebagai ejen UMNO untuk menghancurkan PPBM dari dalam lantas mengarahkannya ‘berambus’ dari parti.

hamidah Naib Presiden PPBM Mahu Tindakan Disiplin Diambil Ke Atas Syed Saddiq

“Saya agak kecewa Syed Saddiq selaku orang muda, pangkat anak saya menuduh saya sebagai ejen UMNO malah menghalau saya keluar (dari parti) dengan perkataan berambus. Jadi perkara ini amat mengecewakan saya.

“Pada saya selaku orang Melayu yang kaya dengan adab. Dan sebagai wanita dan ibu, saya tak sanggup perkara ini (biadap) diterapkan didalam PPBM. Dan apa yang lebih mengecewakan saya adalah parti seolah-olah membiarkan keadaan ini berlaku. Parti langsung tidak mengambil langkah-langkah atau mengambil sesuatu peranan dalam membendung budaya yang dibawa oleh Syed Saddiq,” kata Hamidah.

Syed Saddiq menerusi satu kenyataan kemudiannya memohon maaf diatas tindakan biadab beliau terhadap Hamidah sebelum ini.

“Memang betul saya berbeza pendapat dengan beliau berkenaan beberapa isu dalaman tapi jika disebabkan ini beliau merasakan saya biadab, saya minta maaf. Saya ucapkan ribuan terima kasih di atas sumbangan yang beliau berikan dalam Bersatu terutamanya pada peringkat awal penubuhan parti,” kata Syed Saddiq menjawab kekecewaan Hamidah.

syed saddiq Pengangkutan Awam: Banyakkan Membaca Ketua Armada, Jangan Buat Malu Sekolah Kita

Hamidah awal minggu ini bertindak meninggalkan parti di atas beberapa faktor dan yang terutama adalah disebabkan krisis kroni yang meruncing dalam parti.

Menafikan dirinya sebagai gila kuasa sepertimana dakwaan oleh Syed Saddiq sendiri, Hamidah menjelaskan bahawa budaya kronisme yang berlarutan sehingga terbawa-bawa kepada pemilihan kepimpinan parti menjadi punca beliau tawar hati dengan parti Dr Mahathir ini.

“Ramai yang kata saya gila jawatan saya nak jadi Pengerusi Perhubungan PPBM negeri Perak. Dan apabila saya tidak dilantik (Pengerusi PPBM Perak), (mereka dakwa) saya kecewa. Sebenarnya ini bukan faktornya kerana saya sudah menjadi Naib Presiden. Satu jawatan yang lebih tinggi daripada jawatan pengerusi negeri.

“Cuma saya kecewa dengan cara pemilihan (jawatan) itu dibuat dan saya lihat ianya tidak dapat menjamin dan memastikan kejayaan PPBM di Perak seperti yang saya harapkan dan seperti yang saya usahakan dari awal. Dan lebih mengecewakan lagi apabila saya cuba menyuarakan pandangan saya, saya pula dituduh sebagai pengkhianat,” kata Hamidah.

hamidah Naib Presiden PPBM Keluar Parti

Tambah bekas Ketua PPBM Bahagian Gopeng itu lagi, keadaan dalaman PPBM kini sangat kotor dan perpecahan amat ketara.

“Dan bagi saya, ‘do it or leave it‘. Dan setelah berfikir sekian lama, dan setelah mengambil kira (pandangan) pelbagai sudut, saya mengambil keputusan untuk melepaskan semua jawatan saya dalam Parti Pribumi Bersatu iaitu sebagai Naib Presiden dan juga sebagai Ketua Bahagian Gopeng. Dan saya juga mengambil keputusan untuk keluar parti bermula serta merta,” katanya lagi.

Sumber: Malaysian Digest