najib Manfaat Hubungan Baik Malaysia Dengan Dunia Luar

Manfaat Hubungan Baik Malaysia Dengan Dunia Luar

Baru-baru ini, kita telah mencipta sejarah. Pada suku pertama 2017, kita berjaya merekodkan kenaikan 24.3% dalam sektor perdagangan, peningkatan kepada RM430.5 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Dan bulan Mac lepas, eksport negara telah mencecah RM82.63 bilion, angka bulanan tertinggi bagi eksport Malaysia yang pernah dicapai.

Pencapaian ini bukanlah terjadi sekelip mata. Tetapi ia adalah hasil usaha, kerja keras dan titik peluh kerajaan dalam menjalinkan hubungan baik dengan negara-negara lain.

Dua Minggu Lalu, WSJ & Pakatan Tuduh Kepimpinan China Tidak Lagi Menyokong Najib

Contohnya, hasil hubungan baik dengan negara China, banyak manfaat yang telah kita terima. Sekarang negara kita dibenarkan untuk mengeksport sarang burung mentah ke negara China selepas lawatan saya pada tahun 2016 dan langkah ini sahaja telah memanfaatkan lebih kurang 10,000 petani yang terlibat sekaligus memberikan mereka penambahan pendapatan. Atas permintaan saya juga, China telah menambahkan pembelian minyak sawit dari Malaysia dan kita telah mencatatkan peningkatan 53.6 peratus bagi tempoh enam bulan terakhir 2016. Kerajaan juga telah berjaya membuka pintu kepada syarikat-syarikat kita untuk bekerjasama dengan syarikat dari China dengan pelbagai Memorandum Persefahaman ditandatangani dengan nilai lebih daripada RM175 bilion hasil lawatan saya pada tahun 2016 dan 2017.

najib Hari Bersejarah, Malaysia & India Meterai MoU Bernilai RM158.68 Bilion

Begitu juga dengan India. Kini, banyak syarikat-syarikat Malaysia yang aktif membida projek-projek pembangunan di India, lebih-lebih lagi selepas 6 Memorandum Persefahaman ditandatangani antara Lembaga Pembangunan Industri Pembangunan Malaysia dan ‘industry players’ di sana. Kita juga telah berjaya menandatangani Memorandum Persefahaman bernilai lebih RM158 bilion semasa lawatan saya pada April lepas.

Namakan Satu Kroni Najib, Wartawan Veteran Tanya Penyokong Kuat Mahathir

Pendekatan kita yang mengetengahkan kesederhanaan juga membuatkan Malaysia diterima baik di negara-negara lain seperti Jepun, Indonesia, Arab Saudi dan German yang mana hasil kerjasama dan hubungan baik ini ternyata telah menguntungkan negara. Perjanjian dengan Aramco membawa jumlah pelaburan sebanyak RM31 bilion dan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia-Jepun telah mengukuhkan lagi hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara. Kita telah menjadi rakan dagang keempat terbesar Jepun dengan dagangan dua hala bernilai RM120 bilion bagi tahun 2016.

Saya juga berdoa dan berharap agar lawatan kerja saya ke Amerika Syarikat akan berjalan dengan lancar dan membuka lebih banyak peluang kerjasama antara kedua-dua buah negara.

Kedudukan kita dalam ASEAN juga banyak menguntungkan negara. Melalui ASEAN Economic Community, rakyat Malaysia kini mempunyai akses kepada ekonomi bernilai US$2.55 trilion, dengan populasi lebih daripada 622 juta orang.

Najib Antara 12 Menteri Kewangan Terbaik Di Asia Lapor FinanceAsia

Selain itu, kita berpeluang untuk membuat kerjasama strategik dengan rakan-rakan yang mempunyai kepentingan bersama. Contohnya, kita telah bersepakat dengan Indonesia dalam meningkatkan kerjasama dalam sektor kelapa sawit khususnya dalam menghadapi kempen antisawit yang dilancarkan Kesatuan Eropah yang memberikan sentimen negatif terhadap negara pengeluar sawit seperti Malaysia dan Indonesia.

Apa yang disenaraikan di atas hanyalah sebahagian daripada manfaat yang kita terima hasil daripada hubungan baik dengan negara-negara lain. Ingatlah bahawa kemasukan pelaburan asing banyak membantu pertumbuhan ekonomi kita di sebalik ketidaktentuan ekonomi global. Ternyata ini menunjukkan keyakinan dunia antarabangsa terhadap pentadbiran negara.

Hakikatnya, kita tidak boleh menjadi negara yang bagaikan katak di bawah tempurung, tidak mahu berkerjasama dengan dunia luar, terpedaya dengan dakyah-dakyah yang menuduh bahawa kemasukan pelaburan asing itu boleh disamakan dengan menjual kedaulatan negara. Janganlah kita nafikan manfaat yang boleh diterima rakyat hasil daripada hubungan baik kerajaan dengan negara-negara luar.

Sebenarnya, pemimpin-pemimpin pembangkang menyedari kepentingan pelaburan asing untuk kesejahteraan ekonomi, sebab itulah mereka juga giat ke luar negara. Kalau diikutkan ada pemimpin terdahulu yang kini sering menggunakan retorik ‘jual negara’ tetapi secara realitinya, banyak pinjaman daripada negara luar yang telah dibuat semasa zamannya. Adakah ini bermakna kita telah menjual kedaulatan negara apabila menerima pinjaman pembangunan daripada Jepun sebanyak 61.5 bilion yen untuk membina Kuala Lumpur International Airport (KLIA) pada tahun 1994? Tidak sama sekali! Oleh itu, saya harap masyarakat kita tidak termakan dengan politik kotor yang tidak objektif dan bertujuan untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia. Ini hanya akan merugikan kita.

Insya-Allah, usaha-usaha untuk membina hubungan diplomatik dan kerjasama ekonomi dengan negara luar ini akan saya teruskan, malah lebih komited dalam membawa harapan serta kepentingan rakyat Malaysia di mata dunia.

Oleh Najib Razak