Pesan-Pesan Terakhir Almarhum Sultan Kedah

Pesan-Pesan Terakhir Almarhum Sultan Kedah

Harimau mati meninggal belang, manusia mati meninggalkan jasa.

Kemangkatan Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’Adzam Shah sudah pasti mendukacitakan seluruh rakyat Malaysia.

Di samping menyembah takziah, orang ramai mungkin boleh merenung kembali titah rasmi terakhir baginda 28 hari lalu ketika perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Mesyuarat Pertama Penggal Kelima yang ke-13 di di Alor Setar.

Dalam titah 14 Ogos itu, almarhum menzahirkan rasa dukacita atas tindakan sesetengah pemimpin politik dan individu berkepentingan yang mengambil kesempatan menghangatkan permusuhan sesama Islam di ruang maya.

Baginda turut menyelar ilmuwan agama yang tidak terkecuali mengeluarkan fatwa, tuduh-menuduh dan berdebat di alam siber sehingga masyarakat berbelah bagi.

“Janganlah kerana perbezaan ideologi yang sempit atau kerana kepentingan diri yang lain, isu sensitif seperti kemuliaan agama Islam, kedaulatan raja-raja, hak keistimewaan kaum, hukum-hakam serta agama Islam diperdebatkan secara tidak beradab di laman sosial sekali gus mengundang tafsiran negatif,” titah baginda.

Titah itu dibacakan oleh Raja Muda Kedah Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah.

Maklumat tiada tapisan

Almarhum Sultan Abdul Halim juga mengingatkan bahawa pada ketika ini pelbagai maklumat boleh diperoleh dengan bebas tanpa ada tapisan yang boleh membezakan antara yang hak dan batil.

Titah baginda lagi, penggunaan telefon dan gajet sudah menjadi budaya hidup, menyaksikan lebih 17 juta penduduk mempunyai akses kepada ruang maya dan separuh daripadanya mempunyai Facebook.

“Natijahnya, fitnah dan cerita palsu menjadi tular dan dijaja serata tempat, senario ini menjadi virus yang memporakperandakan dan mengelirukan rakyat, memecahbelahkan dan mengucar-ngacirkan ukhuwah yang selama ini terjalin indah,” titah Sultan Abdul Halim.

Pendidikan Islam

Baginda juga mengambil berat berkaitan pendidikan, terutamanya pendidikan Islam.

Dalam ucapan di hadapan anggota-anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah itu, baginda
melahirkan rasa bangga apabila Kedah menjadi antara negeri dan pelopor awal dalam usaha memartabatkan perkara itu.

“Hal ini dapat dibuktikan menerusi sistem pengajian pondok di mana sistem pondok kini telah dibuat penambahbaikan dan kesannya kini kita sudah memiliki Maahad Tahfiz Sains di Kulim,” titahnya.

Modal insan Gen Y

Pembangunan model insan di kalangan generasi baru turut memikat hati baginda apabila Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mendapat pujian melalui program-program negeri.

“Beta juga amat tertarik dengan daya usaha memanda menteri besar yang menjadikan usaha gilapan modal insan sebagai dasar utama negeri, meskipun ‘Gen-Y’ hanya mewakili 38% daripada keseluruhan penduduk Kedah, beta difahamkan kerajaan negeri memberi fokus lebih kepada 40% pelaksanaan dasar kepada generasi muda,” titahnya.

Sumber: Malaysiakini