5 Pasaraya Giant Gulung Tikar Petanda Kemarau Ekonomi?

5 Pasaraya Giant Gulung Tikar Petanda Kemarau Ekonomi?

Penggiat media sosial pro-pembangkang giat menyalahkan kerajaan di atas keputusan pemilik rangkaian pasaraya Giant, GCH Retail Malaysia menutup lima cawangan pasaraya berkenaan serentak di seluruh negara.

Cawangan yang dimaksudkan adalah Giant Sri Manjung (Perak), Giant Sungai Petani (Kedah), Giant Shah Alam City Centre (Selangor), Giant Selayang Lama (Selangor), dan Giant Sibu (Sarawak).

Antara dakwaan yang disebarkan di media sosial termasuk di Facebook dan aplikasi Whatsapp adalah ekonomi Malaysia kini di dalam kemarau memaksa pasaraya yang sudah lama bertapak di Malaysia gulung tikar.

GCH menerusi kenyataannya menyatakan keputusan menamatkan operasinya selepas melakukan semakan semula operasi bagi meningkatkan keberkesanan dan produktiviti syarikat selain tempoh perjanjian pajakan di premis-premis berkaitan sudah tamat.

Bagi penganalisis politik, Kapten (B) Abdul Rahmat Tun Hanif, penutupan cawangan-cawangan Giant ini juga dikesankan oleh faktor-faktor luar lain termasuk persaingan pemain pasaraya lain di kawasan berdekatan.

Kata Abdul Rahmat, Giant Sri Manjung bersaing dengan dua pasaraya besar lain iaitu TESCO dan AEON Mall di dalam kawasan yang berkependudukan cuma 233,000 orang, sepertimana saingan Giant Sibu terhadap Sanyan Mall, Delta Mall, Star Mega Mall dan Medan Mall yang berada dalam kawasan sama.

“Sebuah Giant Hypermarket yang jauh lebih besar juga wujud berhampiran Giant Selayang Lama iaitu di Batu Caves, sementara cawangan di Selayang Lama terpaksa bersaing dengan pasaraya NSK Selayang yang menawarkan barangan runcit dengan harga yang lebih murah.

“SACC Mall di Shah Alam itu sendiri tidak menarik ramai pengunjung.  Selain Giant, banyak premis perniagaan di situ telah ditutup dan berpindah terutamanya syarikat-syarikat yang mendaftarkan perniagaan yang telah menarik ramai pengunjung.  Di Shah Alam sendiri terdapat empat cawangan Giant yang berhampiran iaitu di Seksyen 9, Seksyen 13, Seksyen 18 dan juga Kota Kemuning,” ujarnya dipetik blognya, Seademon Says.

Sementara di Sungai Petani yang mempunyai dua cawangan pasaraya Giant, penutupan operasi adalah di Giant Supermarket, dimana Giant Hypermarket turut bersaing dengan Pasaraya Econsave, TESCO, SP Plaza, Petani Parade, Central Square serta Amanjaya Mall, jelas Abdul Rahmat.

Justeru penutupan cawangan-cawangan Giant ini katanya berikutan langkah penyatuan dan bukannya berpunca daripada ekonomi negara yang muram.

GCH turut menjelaskan penutupan cawangan Giant berikutan jumlah jualan merosot 1.2% dan hanya meningkat ketika musim perayaan, dan Abdul Rahmat tidak menolak penurunan angka tersebut disumbangkan oleh pembeli yang kini mula berhijrah kepada pembelian atas talian.

Katanya, fenomena ini bukanlah isu domestik ekoran perkara sedemikian turut melanda pemain industri pasaraya luar negara.

Jelas beliau, syarikat pakaian golongan belasan tahun Aéropostale, telah memfailkan kebankrapan, JC Penny telah menutup 40 cawangan sementara Sears dan Macy’s masing-masing menutup 200 dan 136 cawangan jualan mereka.

Ujarnya, beratus-beratus pasaraya dan jenama terkenal kini mula beralih kepada jualan online menerusi tapak Amazon untuk terus kekal berniaga.

“Banyak syarikat perniagaan runcit besaran di Amerika Syarikat terpaksa menutup cawangan, membuang para pekerja dan bergabung dengan syarikat-syarikat lain untuk terus hidup disebabkan persaingan yang diberikan oleh Amazon.

“Trend yang sama kini dilihat di Malaysia. Pada bulan April 2017, syarikat gerbang pembayaran online Malaysia iPay88 yang menguasai 70% pembayaran online di Malaysia mengumumkan bahawa angka pembelian online di Malaysia meningkat 161% pada tahun 2016 berbanding tahun sebelumnya, iaitu 38.2 juta transaksi pada tahun 2016 berbanding 14.6 juta pada tahun 2015,” ujarnya.

Berikutan itu, beliau mengutarakan persoalan berikut “Adakah ekonomi Malaysia menghadapi kemarau seperti yang didakwa? Anda putuskan sendiri.”

Ikuti penjelasan penuh Abdul Rahmat di sini.

Sumber: Malaysian Digest