9 Tahun Menyepi, Nurul Izzah Kembali Ke Lembah Pantai Bawa Roti Kosong

9 Tahun Menyepi, Nurul Izzah Kembali Ke Lembah Pantai Bawa Roti Kosong

Dua penggal bergelar Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar secara tiba-tiba membuat kejutan apabila beliau hadir mengedarkan roti dan sayur di kawasan parlimennya setelah sekian lama menyepi.

Menerusi satu kenyataan dari seorang pengundi Lembah Pantai, sepanjang sembilan tahun bergelar wakil rakyat kawasan berkenaan, jumlah kehadiran Nurul Izzah di parlimen Lembah Pantai boleh dikira menggunakan dengan jari.

“Selebihnya, jika tidak menghantar wakil, dia akan menghantar wajahnya yang terpampang di mana-mana banner ataupun bunting supaya orang-orang di Lembah Pantai tidak melupainya,” ujarnya.

Walaupun tinggal di Segambut yang hanya beberapa kilometer dari Lembah Pantai, Naib Presiden PKR itu juga tidak turun membela 35 penduduk Kampung Kerinchi yang teraniaya hasil daripada hasutan politiknya untuk tidak menjual kediaman bagi pembangunan semula flat kediaman usang kawasan berkenaan.

Nurul Izzah 'Cuci Tangan' Nasib Penduduk Yang Menentang Residensi Kerinchi

“Namun, entah angin apa yang bertiup, akhirnya Nurul Izzah muncul juga membuat bakti di Lembah Pantai. Itupun apabila sudah semakin hampir gendang Pilihan Raya Umum ke 14 dikumandangkan.

“Nyata, kehadirannya untuk mengedarkan sebuku roti dan sedikit sayur buat penduduk di kawasan Pantai Dalam, sedikit sebanyak “meredakan kerinduan” pengundi-pengundi yang memberikan kuasa untuknya mengaut puluhan ribu setiap bulan hanya untuk dirinya sahaja,” ujar pengundi berkenaan.

Persoalan ditimbulkan beliau kepada Nurul Izzah, adakah cukup dengan hanya memberi sebuku roti boleh meredakan kemarahan pengundi Lembah Pantai yang diabaikan dan adakah dengan sebuku roti itu juga dapat mengurangkan kos sara hidup yang didakwa Nurul Izzah selama ini, sangat menekan rakyat?

Kembalinya Nurul Izzah ke Lembah Pantai kata pengundi berkenaan, mungkin kerana anak Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail itu baru terjumpa papan arah ke Pantai Dalam atau Lembah Pantai.

“Atau mungkin juga Nurul Izzah baru teringat bahawa dia adalah Ahli Parlimen Lembah Pantai. Mungkin juga, Nurul Izzah baru mendapat rezeki terpijak untuk dikongsikan bersama-sama beberapa orang penduduk di Lembah Pantai,” katanya sinis.

Jelasnya lagi, Nurul Izzah adalah contoh terbaik pemimpin Pakatan Harapan yang tidurnya cukup lena, dan hidup senang lenang di atas perit jerih penyokong yang memberikannya kuasa untuk dipegang.

Nurul Izzah mula menjadi wakil rakyat parlimen Lembah Pantai semenjak 2009 selepas mengalahkan penyandang kawasan tersebut yang juga Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil.

Beliau menang sekali lagi pada 2013 mengalahkan bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin menerusi kempen fitnah berhubung pembelian tanah di Bukit Kiara.

Namun, setelah perkara tersebut dibawa ke mahkamah setahun kemudian, nyata kenyataan Nurul Izzah adalah fitnah dan akhirnya beliau meminta maaf kerana menjejaskan reputasi Nong Chik.

Sumber: Malaysian Digest