Amaran Risiko Bencana Sudah Diberi, Kerajaan DAP Tidak Peduli - Penang Forum

Amaran Risiko Bencana Sudah Diberi, Kerajaan DAP Tidak Peduli – Penang Forum

Tapak tragedi tanah runtuh di Tanjung Bungah semalam merupakan kes pertama yang dibawa Penang Forum kepada pengetahuan Kerajaan DAP Pulau Pinang berhubung risiko bencana akibat pembangunan di lereng bukit.

Jurucakap Penang Forum, Dr. Lim Mah Hui berkata, kes itu diketengahkan pihaknya menerusi inisiatif ‘Penang Hills Watch’ yang memantau aktiviti penggondolan bukit di negeri ini.

Tanah Runtuh Tanjung Bungah: Tapak Pembinaan Terlalu Hampir Dengan Kuari

Katanya, laporan mengenai kerja-kerja di lereng bukit itu dibawa kepada pengetahuan Kerajaan DAP Pulau Pinang pada Januari lalu dan jawapan yang diterima pihaknya adalah – “kerja-kerja tanah sedang dipantau”.

“Kita sekali lagi menghantar laporan mengenai kerja-kerja di lereng bukit itu kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang pada Mei lalu namun tiada sebarang jawapan atau maklum balas diberikan.

“Akhirnya semalam, kebimbangan kami terjawab dan apa yang menyedihkan ia merupakan dalam bentuk tragedi yang meragut 11 nyawa,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tanah Runtuh: Lim Guan Eng Kata Hanya Isu Kemalangan Tapak Kerja?

Menurut Lim Mah Hui, tragedi tanah runtuh itu dapat dielakkan sekiranya Kerajaan DAP Pulau Pinang memberi perhatian terhadap kebimbangan yang disuarakan penduduk serta pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak sekian lama.

Malah, beliau turut melahirkan rasa kesal kerana garis panduan berkenaan pembangunan di lereng bukit sudah digazetkan tetapi malangnya tidak dipatuhi.

“Dengan berlakunya tragedi ini, apakah ini bermaksud Kerajaan DAP Pulau Pinang dan pihak berkuasa tempatan (PBT) melanggar garis panduan mereka sendiri?” katanya.

Tanah Runtuh Tanjung Bungah: Akibat Pembangunan Rakus Rejim DAP Pulau Pinang?

Ketua Menteri Lim Guan Eng telah mencadangkan Suruhanjaya Siasatan peringkat negeri untuk menyiasat kejadian itu. Ia dijangka dibentangkan semasa mesyuarat majlis eksekutif yang akan datang.

Penang Forum, bagaimanapun, menyeru Suruhanjaya Siasatan Diraja bebas ditubuhkan untuk menyiasat apa yang berlaku dan bagaimana kejadian sedemikian boleh dielakkan pada masa akan datang.

“Semua pihak, dari atas ke bawah – Jawatankuasa Perancang Negeri, Majlis Bandaraya Pulau Pinang, pemaju dan juga kontraktor yang menjalankan projek – perlu disiasat dan bertanggungjawab,” tambah Lim Mah Hui.

Sumber: NST