Azmin Ali, Lim Guan Eng Nak Jual Negeri Ke? Tanya NajibAzmin Ali, Lim Guan Eng Nak Jual Negeri Ke? Tanya Najib

Azmin Ali, Lim Guan Eng Nak Jual Negeri Ke? Tanya Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyindir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali yang baru-baru ini berkunjung ke China untuk menarik pelaburan ke negeri itu.

Najib sebelum ini dituduh Pakatan Harapan (PH) sebagai cuba menggadaikan aset negara apabila mengadakan kerjasama diplomatik dengan China.

Ahli Parlimen Pekan itu pada November 2016 dan Mei 2017 mengadakan lawatan rasmi ke China yang kemudiannya menarik pelaburan lebih RM143 bilion termasuk pembabitan China dalam Bandar Malaysia dan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion.

“Baru-baru ini saya dapat khabar berita katanya Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sendiri berkunjung ke China.

“Kita nak tanya, nak jual Selangor ke?” soalnya sebelum mula membentangkan Bajet 2018, di Parlimen, hari ini.

Azmin sebelum ini bertindak mengadakan lawatan rasmi ke China bagi menarik lebih banyak pelaburan China ke Selangor.

Najib turut mempersoalkan ‘lawatan kerja’ yang dilakukan oleh Ketua Menteri di Pulau Pinang ke negara Tanah Besar itu.

“Itu belum kira lagi lawatan kerja luar negara oleh Menteri Pulau Pinang, itu pun nak kira macam mana?

“Nak jual negeri juga ke?” soalnya lagi.

Kenapa DAP Bisu Bila Muhyiddin Tuduh China 'Rompak'?

Pemerhati politik melihat tingkah laku pemimpin pembangkang itu sebagai ‘meludah ke langit’ sementelah mereka sebelum ini memperlekehkan penjelasan kerajaan berhubung keperluan dan kepentingan mengadakan hubungan diplomatik dengan China.

Pembangkang juga menuduh tindakan kerajaan menerima pelaburan dari China akan menjejaskan peluang perniagaan di kalangan anak tempatan dan kemungkinan menimbulkan ancaman dari segi campur tangan politik negara luar.

Pembangkang bagaimanapun tidak mengulas fakta bahawa China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia dengan 19% jumlah eksport, manakala pelaburan dari China adalah signifikan dalam sektor pembuatan, pembinaan, infrastruktur dan hartanah.

Menurut data rasmi negara, pelaburan China dalam sektor pembuatan tempatan dari 2009 hingga 2015 berjumlah RM13.6 bilion dan dijangka mewujudkan 24,786 peluang pekerjaan.