Azmin Tahu Beza Bidang Kuasa Kerajaan Persekutuan, Negeri & Tempatan?

Azmin Tahu Beza Bidang Kuasa Kerajaan Persekutuan, Negeri & Tempatan?

Baru-baru ini kecoh diperkatakan tentang tindakan penguatkuasa di bawah Pejabat Daerah dan Tanah Petaling dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBAS) yang bertindak merobohkan tiga buah rumah dan dua rumah kedai berhampiran Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Tersebar meluas rakaman video mengenai insiden tersebut yang turut melibatkan campur tangan pemimpin PAN dan penduduk setempat yang bertengkar dengan pegawai PBT yang berkeras mahu merobohkan premis tersebut.

Agak tegang situasi ketika itu apabila terdapat beberapa individu yang berkemungkinan penduduk terlibat yang menjerit memaki hamun pegawai berkenaan, manakala pemimpin pembangkang itu merayu agar ditangguhkan sementara dia menghubungi Menteri Besar, Dato’ Seri Azmin Ali.

Walau bagaimanapun, premis tersebut telah pun dirobohkan oleh PBT terbabit sebelum menerima arahan dari Azmin untuk menangguhkan tindakan meroboh bangunan itu setelah dirayu pemimpin PAN dari pantai timur.

Yang peliknya, tiba-tiba saja Azmin mengatakan tindakan merobohkan premis berkenaan bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan menyalahkan Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesejahteraan Bandar, Tan Sri Noh Omar?

Azmin mendakwa kononnya Noh yang sepatutnya membuat panggilan telefon kepada Pegawai PBT terbabit dan menghalang tindakan PBT daripada merobohkan premis-premis itu. Dia memberi alasan bahawa tanah itu hak milik Kerajaan Persekutuan dan bukan Kerajaan Negeri Selangor.

Bagi mencantikkan lagi ‘plot wayang’nya, Azmin umum tawaran Kerajaan Negeri kepada dua keluarga tersebut tempat tinggal di PPR di Kota Damansara tanpa sewa selama 6 bulan. Melucukan, tawaran itu dibuat selepas rumah mereka dirobohkan PBT?

Penulis tidak pasti dari mana Azmin belajar Pentadbiran Awam. Penulis juga tidak pasti bagaimana tadbir urus Kerajaan Tempatan di Kerajaan Negeri yang diperintah Azmin. Penulis tidak yakin dia tahu membezakan antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan.

Sekiranya Azmin ke mana-mana pusat pengajian tinggi di negara ini yang menawarkan kursus Pentadbiran Awam, maka dia akan tahu bahawa PBT berada di bawah urus tadbir dan bidang kuasa Kerajaan Negeri.

Maksudnya, Kerajaan Persekutuan tidak berhak dan tidak berkuasa untuk memberi arahan kepada PBT untuk menjalankan apa-apa tugas. Contoh jelas, gaji, bonus atau imbuhan tahunan PBT dibayar oleh Kerajaan Negeri dan bukan Kerajaan Persekutuan.

Jadi, mengapa pula perlu Noh yang membuat panggilan kepada pegawai PBT terbabit untuk menghentikan tindakan merobohkan premis kediaman penduduk? Meskipun tanah itu milik Kerajaan Persekutuan, apakah pegawai dari Kerajaan Persekutuan yang bertindak merobohkan premis tersebut?

Setahu penulis, mana-mana pegawai PBT mengikut rantaian arahan berpusat dari Kerajaan Negeri. Tanpa arahan Kerajaan Negeri, mereka tidak akan bertindak meskipun terdapat perintah mahkamah untuk berbuat demikian.

Kebiasaan yang menjadi amalan sesebuah kerajaan apabila berdepan dengan perintah mahkamah seperti kes demikian adalah dengan menggunakan kuasa budi bicara sebagaimana yang diperuntukkan perlembagaan. Sila rujuk bab ‘budi bicara kerajaan dan penjawat awam’.

Persoalannya, setelah menerima perintah mahkamah, mengapa perlu tergesa-gesa merobohkan rumah dan premis terbabit tanpa memberi peluang dan tempoh untuk mereka merayu sewajarnya tentang pampasan yang mungkin kurang adil di mata mereka?

Roboh Rumah Bekas Pegawai Masjid Subang, Pemimpin PAN Doa Kerajaan Azmin Tumbang

Paling menarik, mengapa pemimpin PAN dari pantai timur itu bertindak menghubungi pemimpin Kerajaan Negeri dan bukan Kerajaan Persekutuan? Jelas sekali kerana dia berdepan dengan penjawat awam Kerajaan Tempatan yang bertuankan Kerajaan Negeri, bukan?

Agak melucukan apabila pemimpin PAN dari luar itu tahu bidang kuasa Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan berbanding Azmin sendiri? Padahal, dia bukan Menteri Besar pun, hanya orang luar yang melihat ‘kezaliman’ rakannya di Selangor, bukan?

Pada hemat penulis, Azmin benar-benar menjatuhkan maruah Pakatan Harapan di Selangor. Mungkin panik dengan insiden itu, dia ‘meracau’ menyalahkan pihak yang tidak sepatutnya. Apa salahnya jika dia mengaku saja kelemahan tersebut? Salahkan meminta maaf kepada rakyat dan menyesali ketelanjuran kerajaan sendiri?

‘Nasi sudah menjadi bubur’, barulah Azmin terhegeh-hegeh menawarkan rumah sementara tanpa bayaran sewa bulanan? Rumah PPR saja? Kenapa tidak diajak tinggal di kediaman Menteri Besar selama enam bulan sebagai tanda kesal dan minta maaf? Bukankah plot itu lebih ‘dramatik’ untuk seorang ahli politik beretorik?

Mungkin Azmin boleh ‘menipu’ budak ‘sekolah tak habis’ yang menyokong Pakatan Harapan, tapi jangan haraplah dapat berbohong kepada rakyat yang rata-ratanya tahu tentang bidang kuasa tiga peringkat Kerajaan di negara ini.

Justeru itu, penulis menyarankan supaya Menteri Besar Selangor kembali ke pusat pengajian tinggi dan belajar subjek Pentadbiran Awam di Malaysia sehingga lulus dengan cemerlang. Harapnya agar pensyarah tidak buat kuiz bertanyakan Azmin tentang MBSA dan Pejabat Daerah dan Tanah Negeri di bawah bidang kuasa siapa.

Sumber: MYKMU