Bekas Menteri Besar Selangor Puji Bajet 2018

Bekas Menteri Besar Selangor Puji Bajet 2018

Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memuji Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Jumaat lepas.

Katanya di dalam satu kenyataan, bajet yang dibentangkan didapati adalah usaha berterusan Kerajaan Persekutuan untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi.

“Antara fakta yang penting adalah GST dijangka dapat menjana pendapatan sebanyak RM43.8 bilion bersamaan dengan 18.3% daripada keseluruhan pendapatan negara.

“Ini adalah jumlah yang besar memandangkan pendapatan daripada dividen Petronas pada 2017 hanyalah RM17 bilion.

“Negeri Selangor adalah penerima manfaat terbesar untuk peruntukan pembangunan kerana sebahagian besar adalah untuk pembinaan Lebuhraya Banting – Taiping serta rangkaian rel MRT dan LRT.

“Tambahan pula, 2 daripada 4 jalan bertol yang akan ditamatkan berada di Selangor.

“Saya juga melihat dua program yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri iaitu Amanah Dana Anak Malaysia 2050 dan “Off River Storage” agak serupa dengan 2 program yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri Selangor Pakatan Rakyat (bukan Pakatan Harapan) pada 2009.

“Alhamdulillah, program yang baik memang sepatutnya diperluaskan untuk dinikmati oleh semua.

“Apa pun, seperti yang saya tekankan sebelum ini, pelaksanaan perlulah dilakukan dengan telus dan cermat agar tiada ketirisan yang akhirnya merugikan semua pihak,” katanya.

Sumber: Malaysia Outlook