Dana 1MDB Selesaikan Masalah Legasi Pemimpin Terdahulu - Najib

Dana 1MDB Selesaikan Masalah Legasi Pemimpin Terdahulu – Najib

Perdana Menteri Najib Razak berkata dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) digunakan untuk menyelesaikan isu daripada perjanjian kuasa berat sebelah yang ditandatangani oleh seorang bekas pemimpin.

“Apabila 1MDB memasuki industri itu, ia pembida terendah dalam semua perjanjiannya, dengan itu menjimatkan Malaysia sebanyak RM200 bilion dalam 20 tahun akan datang.

“Malah, satu laporan firma penyelidikan mengenai perjanjian kuasa yang disemak semula ini diberi tajuk ‘Tiada lagi perjanjian pilih kasih’,” katanya dalam entri terbaru di blognya, menambah perolehan daripada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak digunakan untuk membayar hutang 1MDB.

Kenapa Pembangkang Tidak Lagi Berani Sebut Tentang Perjanjian Berat Sebelah IPP

Najib berkata 1MDB juga membiayai pembinaan dan penambahbaikan lapan pangkalan tentera yang tidak dapat dilakukan oleh kerajaan pada masa dulu.

Katanya, ia juga membiayai beribu-ribu biasiswa dan perjalanan haji untuk jemaah.

“Memang benar 1MDB mempunyai masalahnya, dan kita mengambil tindakan merombak pengurusan untuk membetulkan kesilapan dan mengembalikannya kepada keadaan kewangan yang sihat,” katanya.

Beliau berkata 1MDB dijangka akan membuat keuntungan yang lebih daripada cukup untuk menanggung kerugiannya apabila perjanjian projek Bandar Malaysia ditandatangani.

“Dan pembohongan bahawa rakyat perlu menanggung akibat daripada keputusan 1MDB akan terkubur. Ini kerana selepas program rasionalisasi selesai, 1MDB berkemungkinan besar akan menjana keuntungan untuk rakyat, dan ini tidak termasuk segala usaha tanggungjawab sosial korporat yang dilaksanakannya selama bertahun-tahun,” katanya.