Diugut 'Gambar Sensitif' Buat Syed Saddiq Tak Tidur Malam

Diugut ‘Gambar Sensitif’ Buat Syed Saddiq Tak Tidur Malam

Ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq Abdul Rahman hari ini berkata beliau terus menerima tekanan pihak tertentu memintanya meninggalkan parti, kali ini melalui ugutan dalam bentuk beberapa keping “gambar sensitif”.

Syed Saddiq berkata beliau lewat malam tadi menerima beberapa keping gambar yang menyerang maruah dirinya.

“Dalam jam 1.30 pagi tadi, saya dapat melalui satu saluran aplikasi, yang tidak boleh saya maklumkan. Saya dapat beberapa gambar yang agak sensitif dan bersifat ugutan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PPBM di sini.

Menurutnya, perkara sama pernah berlaku ke atas ayah dan abangnya.

“Kali ini saya pula, memang malam tadi saya tidak boleh tidur,” katanya, yang enggan mendedahkan gambar tersebut dan laporan polis mengenainya yang dibuat di Subang Jaya pagi tadi.

Syed Saddiq Dakwa Diperas Ugut Pula, 'Kekotoran' Apa Yang Kamu Telah Lakukan?

Ditanya sama ada gambar itu bersifat lucah, Syed Saddiq menjawab:

“Saya tidak boleh dedahkan semua perkara, ia bukan ugutan bunuh atau ugutan pukul, lebih kepada isu peribadi untuk menggertak saya dan keluarga supaya tidak teruskan apa yang saya lakukan.

“Saya percaya ia dilakukan bukan secara kebetulan, sebaliknya dilakukan secara terancang oleh satu kumpulan yang sama sebelum ini, bukannya dilakukan satu individu sahaja,” katanya.

Syed Saddiq berkata beliau akan dipanggil ke 2 balai polis malam ini namun enggan mendedahkan lokasinya.

“Saya percaya ia dilakukan apabila saya tidak mengikut arahan yang mereka lakukan iaitu pergi ke luar negara dan burukkkan pemimpin tertinggi parti,” katanya.

“Saya perlu buat laporan polis, tidak mungkin saya mahu maruah diri saya hilang. Kalau ugutan ini boleh dilakukan dan saya tidak atasi, ia akan penjarakan saya buat selama-lamanya,” katanya yang mengakui bimbang dengan keselamatan dirinya.

Isnin lalu, Syed Saddiq mendakwa ditawarkan RM5 juta daripada seorang individu yang rapat dengan perdana menteri, untuk meninggalkan PPBM dan menerima tawaran biasiswa Oxford melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Menurut beliau, umpan RM5 juta itu “‘rangkaian sistematik dedak” dirancang penasihat kanan di Jabatan Perdana Menteri, termasuk dana untuk mendirikan sekolah debat di seluruh Malaysia.

Syed Saddiq turut mendakwa diminta menyerang Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan memburuk-burukkan partinya.

Selain sogokan, Syed Saddiq juga mendakwa beliau dan bekas pendebat lain diganggu supaya meninggalkan politik, dan terdapat jaringan orang korup yang mendekati ahli PPBM lain, yang kini sudah meninggalkan parti itu.

Sumber: FMT