Dulu Masa Jadi PM Kenapa Tak Buat? Janji Manis Mahathir Kepada Sabah & Sarawak DibidasDulu Masa Jadi PM Kenapa Tak Buat? Janji Manis Mahathir Kepada Sabah & Sarawak Dibidas

Dulu Masa Jadi PM Kenapa Tak Buat? Janji Manis Mahathir Kepada Sabah & Sarawak Dibidas

Sepanjang 22 tahun pemerintahan sebagai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengabaikan pembangunan negeri Sarawak, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Tegasnya, beliau dan bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya memberikan janji-janji namun tidak pernah melunaskan sehinggalah kedua-duanya tidak lagi memegang tampuk kepimpinan negara.

Tangan Mahathir 'Terikat' Untuk Memajukan Sarawak Ketika Beliau Memerintah

“Semasa Mahathir jadi Perdana Menteri, dia tak beri apa-apa kepada Sarawak. Apa yang dia beri kepada Sarawak? Cakap saja.

“Anda tahu tidak saya mahukan naikkan dana MRP (Projek Luar Bandar Kecil) untuk Sarawak? Datuk Seri Anwar campakkan fail kepada saya. “Kita tidak boleh campak semua duit kepada Sarawak!” Itu jawapan yang diberikan (Anwar) kepada saya. Saya pendamkan hal ini selama lebih 20 tahun,” kata menteri persekutuan dari Sarawak itu.

Ahli Parlimen Batang Lupar itu turut menegaskan bahawa kisah Sarawak diabaikan pemerintahan Dr Mahathir dan Anwar diketahui seluruh rakyat negeri berkenaan.

“Jadi janganlah cakap mengenai (janji) mereka (Pakatan Harapan). Mereka tidak bercakap perkara benar. Ini semua politik sahaja.

“Orang Melayu di sana (Sarawak) dan orang Cina pun memahami (mengetahui) cerita ini. Mereka (pembangkang) tidak berkata perkara benar,” tegasnya.

Setelah Tidak Berkuasa, Mahathir Tiba-Tiba Mahu Jadi Hero Rakyat Sarawak

Wan Junaidi berkata demikian bagi mengulas kehadiran Dr Mahathir ke Sarawak baru-baru ini yang dikatakan mendapat sambutan hebat dari rakyat Bumi Kenyalang tersebut.

Tambahnya, jumlah 8,000 hadirin yang dikatakan besar itu sebenarnya jauh lebih kecil berbanding sewaktu kedatangan Dr Mahathir ketika masih bersama kerajaan dahulu.

Dr Mahathir pada Ahad, tiba di Kuching selaku Pengerusi Pakatan Harapan berjanji untuk mengkaji semua 16 perkara tuntutan Sarawak dan 20 perkara tuntutan Sabah sekiranya rakyat kedua-dua negeri berkenaan memberi mandat kepada Pakatan Harapan meneraju negara pada PRU14.

“Mereka mahu diberi kawalan ke atas produk petroleum, pendidikan dan sebagainya. Kita akan kaji. Kita akan tengok dengan fikiran terbuka,” kata Dr Mahathir.

Wan Junaidi walaubagaimanapun membidas mainan politik untuk memancing undi Dr Mahathir sambil menyifatkan kata-kata manis bekas Perdana Menteri itu sebagai sampah.

“Mengapa saya katakan sampah? Saya tidak suka menghina orang (tetapi) kamu datang ke negeri saya dan katakan macam ini (memburukkan kerajaan).

“Dulu masa kamu jadi Perdana Menteri, kamu mempunyai kuasa untuk melaksanakannya, tetapi kamu tak buat,” tegasnya lagi.

Sumber: Malaysian Digest