Eric See-To Sedia Debat Rafizi Jika Tony Pua Berdebat Sekali

Eric See-To Sedia Debat Rafizi Jika Tony Pua Berdebat Sekali

Eric See-To Choong menyahut cabaran debat daripada Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dengan syarat Tony Pua setuju berdebat dengannya mengenai projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Timbalan pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional itu berkata Rafizi harus dapatkan kerjasama Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu untuk berdebat mengenai isu sekitar rancangan pembinaan terowong yang didakwa mencecah RM15 bilion.

“Perlu ada 2 debat atau tidak ada debat,” kata Eric See-To.

Nak Harapkan Tony Pua Atau Rafizi Sebarkan Berita Seperti Ini? Jangan harap

Beliau menambah Rafizi selaku “pakar pelbagai bidang” boleh membantu Tony Pua dalam debat mengenai kontroversi projek terowong itu.

“Apabila Pakatan Harapan ajak saya berdebat, saya sahut cabaran itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Oleh itu, adillah apabila saya minta Pakatan Harapan berdebat dengan saya, mereka harus menerimanya, lebih-lebih lagi berkaitan projek melibatkan wang rakyat yang mungkin sehingga RM15 bilion.”

Pada 5 September lepas, Rafizi mencabar Eric See-To untuk berdebat mengenai pembangunan ekonomi negara, termasuk kutipan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Cabaran itu dibuat selepas Eric See-To berhujah kutipan cukai pendapatan melepasi pertumbuhan ekonomi sesebuah negara bukan sesuatu yang luar biasa.

Penjelasan Rafizi Lebih Mengelirukan Daripada Persoalan

Bagaimanapun, keesokan hari Eric See-To berkata tidak perlu tergesa-gesa mengadakan debat kerana beliau tidak mahu “mengganggu” ahli Parlimen Pandan itu, yang sedang bercakaran dengan ahli parti sendiri.

Beliau berkata cabaran Rafizi itu sekadar cubaan untuk mengalihkan pandangan daripada pertelingkahan dalaman parti, dan mencadangkan naib presiden PKR itu mengajukan cabaran selepas sebulan.

Hari ini Eric See-To berkata Rafizi mungkin terlupa mengenai cabaran itu, memandangkan beliau sibuk dengan kontroversi terbaharu mengenai dakwaan Invoke Solutions Sdn Bhd milik beliau, membuat bayaran kepada KEIP Resources Sdn Bhd, di mana Rafizi seorang pemegang saham utama, menggunakan dana yang dikutip daripada orang ramai.

Beliau berkata Tony Pua juga secara terbuka mempertahankan projek terowong itu, sebelum Rafizi mengaju cabaran kepada Eric See-To mengenai ekonomi.

Putar Belit Tony Pua Dijawab, Dicabar Debat Skandal Terowong Pulau Pinang

“Saya seterusnya mencabar Tony Pua untuk mengadakan debat terbuka mengenai kontroversi terowong Pulau Pinang tetapi belum terima sebarang jawapan,” tambahnya.

“Kerajaan DAP Pulau Pinang membisukan diri selepas saya bangkitkan penemuan baharu mengenai projek itu beberapa bulan lalu,” katanya, dan menambah debat itu perlu untuk mendapatkan jawapan daripada DAP.

Beliau berkata ini debat kali pertama buat dirinya, dan jika Rafizi bersetuju, beliau boleh gunakan INVOKE untuk mengatur masa dan tempat 2 debat itu.

Sumber: FMT