George Town Mungkin Bakal Hilang Status Tapak Warisan Dunia UNESCO

George Town Mungkin Bakal Hilang Status Tapak Warisan Dunia UNESCO

George Town yang merupakan salah satu pelabuhan perdagangan paling terkemuka yang menghubungkan Timur dan Barat selama 200 tahun ini berisiko untuk kehilangan statusnya sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Perubahan drastik dari segi fabrik sosial yang melanda ibu negeri Pulau Pinang itu mungkin membawa kepada pembatalan status yang sangat berharga, dengan banyak komuniti asal bandar itu terpaksa berpindah kerana tidak mampu menampung sewa yang semakin meningkat.

Tapak Warisan Dunia George Town yang bersejarah meliputi kawasan seluas 109.38 hektar dengan 1,715 bangunan warisan di dalam zon teras dan 1,928 bangunan warisan di zon penampan.

Bangunan-bangunan itu juga merupakan sebahagian daripada koleksi terbesar bangunan pra-Perang Dunia II di pusat bandaraya dalam Asia Tenggara yang menunjukkan nilai budaya dan sejarah yang penting.

Laporan terbaru dari Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) yang bertajuk ‘Building Social Capital: The George Town Experiment’ menyatakan dua tahun selepas dicalonkan sebagai tapak Warisan Dunia pada tahun 2007, kira-kira 8,500 penduduk dari 591 isi rumah telah meninggalkan tapak tersebut. Pada tahun itu, komuniti tapak ialah seramai 18,660 penduduk.

Manakala, di antara tahun 2009 dan 2013, untuk menampung aktiviti komersial yang lain, kira-kira 231 hartanah kediaman telah dibuat semula. Dalam masa itu juga, hotel dan penginapan pelancong di kawasan itu telah berkembang dari 61 premis menjadi 97 dan bilangan restoran dan bar juga telah bertambah kepada 46 premis lagi.

Namun, menjelang tahun 2015, peningkatan sewaan dari pemilik hartanah telah mengusir ramai penyewa asal tempat itu membawa sekali sejarah sosial dan budaya bersama mereka meninggalkan 211 hartanah kosong.

Situasi itu telah membawa perubahan dari segi fabrik sosial tapak itu di mana ia adalah kriteria utama yang melayakkan penganugerahan status sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Sementara itu, Pulau Pinang telah menerima status Warisan Dunia pada tahun 2008 bersama Melaka selepas menepati keempat-empat kriteria, antaranya adalah menjadi contoh luar biasa kepada sebuah bandar perdagangan pelbagai budaya di Asia Timur dan Tenggara, dibentuk dari perdagangan dan pertukaran budaya Melayu, Cina, dan India.

Laporan itu mengatakan, “Meskipun diiktiraf sebagai tapak Warisan Dunia telah berjaya menaikan imej Pulau Pinang dan membuka jalan kepada negeri itu untuk menghidupkan semula industri pelancongannya, ia juga telah memberikan tekanan tambahan kepada kemampuan perumahan.”

Sejak penghapusan Control of Rent Act (CRA) pada tahun 2000, tapak itu telah mengalami kenaikan harga hartanah yang mengejutkan, di mana ia telah menyebabkan sewa semalaman meningkat daripada 50% hingga 300%.

CRA adalah satu langkah yang diperkenalkan pada tahun 1966 untuk membantu penyewa asal di kawasan dalam bandar hak untuk menikmati kadar sewa rumah yang rendah, membenarkan mereka untuk terus tinggal dan menjalankan perniagaan mereka di kawasan itu.

Untuk menyelesaikan isu ini, KRI telah mencadangkan pendekatan yang lebih inklusif dengan memperbaiki rumah dan premis yang semakin rosak di dalam tapak itu. Itu termasuklah Tabung Pembangunan Komuniti (CDF), di mana individu dan syarikat korporat boleh membuat sumbangan penolakan cukai kepada itu.

Wang itu kemudian akan disalurkan dengan sewajarnya oleh kerajaan negeri kepada penyewa yang ingin membaiki rumah sewa mereka. Itu akan memberikan peluang kepada penyewa untuk mengambil bahagian dan berkongsi kos pengubahsuaian. Dan, secara tidak langsung mereka juga akan menjadi “rakan kongsi” kepada hartanah dan membenarkan mereka untuk merunding hak penyewaan mereka.

Pengarah KRI Research (Cities), Suraya Ismail mengatakan, “CDF adalah model pembiayaan strategik dan pemberi kuasa kepada masyarakat yang lemah untuk mengambil bahagian secara aktif, merekabentuk dan memimpin inisiatif berasaskan komuniti yang bertujuan membuatkan keadaan hidup mereka menjadi lebih baik.”

“Projek perintis CDF, yang dipaparkan dalam laporan sebagai “the Hock Tiek Initiative”, menunjukkan sumbangan telah diberikan kepada enam keluarga yang layak untuk digunakan dalam menaik taraf ruang sewaan mereka.”

“Jumlah yang digunakan untuk projek perintis adalah sebanyak US$15,000 (RM40,000). Sebaik sahaja permohonan itu diluluskan, penyewa akan berunding dengan pemegang amanah pada perjanjian sewaan mereka.“

“Penyewa yang meminta pajakan bulanan ditukar kepada tempoh 10 tahun dengan sewaan sebanyak RM400 sebulan.”

Selain itu, dia juga menambah yang ia bukan hanya penyelesaian kewangan berdaya maju tetapi ia juga adalah proses yang menguatkan kembali hubungan di antara pemilik dan penyewa.

Sumber: Astro Awani